Peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah bercakap kepada media mengenai isu kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd dan kes pengubahan wang haram dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) membabitkan anak guamnya, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika di pejabatnya Messrs Shafee & Co, Bukit Tunku, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 02 DECEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – “Tindakan menyembunyikan bahan bukti dan kegagalan melengkapkan siasatan ke atas pelaku-pelaku utama dalam kes SRC International bermaksud Datuk Seri Najib Tun Razak telah dituduh, didakwa secara pra-matang dan haknya untuk perbicaraan adil dinafikan.”

Itu antara inti pati sidang media Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah sebagai peguam yang mengetuai pasukan pembelaan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini.

Kata Muhammad Shafee, pihaknya telah memfailkan kepada Mahkamah Rayuan satu notis usul mengambil keterangan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Azam Baki dalam kes penyewelengan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Selain itu, notis itu juga mengemukakan nama lain termasuklah keterangan pegawai penyiasat SRC Rosli Hussein atau orang lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Tindakan mengemukakan notis pada saat akhir ketika Mahkamah Rayuan dijadualkan menyampaikan keputusannya pada Rabu depan mendapat kritikan segelintir pihak.

Namun kata Muhammad Shafee, pihaknya tidak sengaja memanjangkan mahupun main tarik tali dalam pendakwaan sebaliknya terdapat pendedahan demi pendedahan yang dilakukan oleh pihak berkepentingan terhadap ‘pelaku-pelaku’ lain baru-baru ini.

Peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah bercakap kepada media mengenai isu kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd dan kes pengubahan wang haram dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) membabitkan anak guamnya, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika di pejabatnya Messrs Shafee & Co, Bukit Tunku, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 02 DECEMBER 2021.

“Pada 19 November lepas, SPRM telah mengeluarkan kenyataan berkaitan pemulihan aset dana 1MDB antara lain dari Singapura.

“Kerajaan Singapura dikatakan telah memulangkan sejumlah US$15,400 juta (lebih RM64 juta) kepada Malaysia yang dikaitkan dengan akaun Cutting Edge Industries kepunyaan Tawfiq Ayman iaitu suami Tan Zeti Aziz Akthar yang juga bekas Gabenor Bank Negara Malaysia.

“Lebih mengejutkan apabila SPRM mendedahkan syarikat Cutting Edge Industries adalah milik bersama Tawfiq dan Samuel Goh. Untuk makluman Samuel pernah memberi keterangan dia telah dibayar US$4 juta untuk membuka akaun bank palsu di luar negara yang mana 1MDB telah menghantar berbilion ringgit yang kemudian masuk ke akaun Jho Low.

“SPRM juga umum wang sebanyak US$864,813.27 telah dipulangkan kepada Malaysia dari Singapura milik bekas Ketua Pengarah Eksekutif SRC, Nik Faisal Ariff Kamil ketika keputusan di Mahkamah Tinggi sebelum ini telah menyebut Nik Faisal tidak mempunyai kepentingan.

“Pada 22 November tahun  ini juga Menteri Undang-Undang, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar turut mendedahkan bagaimana dana 1MDB yang dimasukkan ke dalam akaun keluarga bekas Gabenor ini sebenarnya sudah diketahui oleh PDRM sejak 2019 ketika perbicaraan sedang berlangsung di Mahkamah Tinggi.

Artikel berkaitan:

“Juga baru-baru ini, iaitu 24 November bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas juga mendedahkan beliau tahu tentang peranan Zeti dan suaminya dalam membantu urusan Jho Low malah ada kertas siasatan telah di buka SPRM.

“Semua maklumat ini adalah relevan dalam pembelaan anak guam kami dan kelihatan seolah-seolah semua ini telah sengaja telah di sembunyikan sekaligus prejudis serius ke atas pembelaan anak guam kami,” katanya dalam sidang media yang berlangsung di Bukit Tunku.

Zeti Akhtar Aziz

Dalam afidavit sokongan usul yang difailkan baru-baru ini, Najib berkata, ia dilakukan kerana semua isu yang dibangkitkan di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan belum diteliti sepenuhnya malah ianya untuk kepentingan keadilan supaya beliau mendapat perbicaraan secara adil.

Awal tahun ini, Iron Rhapsody milik Tawfiq dan anak lelakinya dilaporkan telah menerima sejumlah RM66 juta daripada syarikat dan akaun bank yang mempunyai kaitan dengan Low Taek Jho (Jho Low), ahli perniagaan dalam buruan berhubung skandal 1MDB.

Polis Singapura juga dilaporkan telah memaklumkan kepada BNM pada 2015 dan 2016 mengenai transaksi meragukan membabitkan syarikat milik Tawfiq, dengan dana itu datang daripada akaun yang dikaitkan dengan Jho Low. 

Dalam pada itu, kata Muhammad Shafee lagi, keterangan SPRM dan Tommy bagaimana Zeti telah membantu memudahkan urusan Jho Low adalah satu bukti material mengapa Najib tidak diberikan sebarang amaran ada ketidakaturan dalam akuannya.

”Ini juga jelas mengesahkan pembelaan anak guam bahawa terdapat kerjasama Jho Low dan konco-konco tertentu untuk pastikan anak guam saya bahawa beliau sentiasa dalam kegelapan dan tidak tahu tentang banyak perkara.

”Beliau (Najib) telah bergantung sepenuhnya kepada BNM dan Gabenor BNM untuk bangkitkan sebarang isu yang tidak teratur berlaku pada akaun-akaun beliau sebaliknya Zeti tidak pernah bangkitkan apa-apa jadi beliau percaya semua dana itu adalah sumbangan keluarga Diraja Arab Saudi,” tegasnya. -MalaysiaGazette