Jawatankuasa Ahli Majlis Penasihat Kerajaan, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz bercakap kepada media selepas menghadiri mesyuarat Majlis Penasihat Kerajaan di Menara Ilham, Jalan Binjai, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 22 JUN 2018.
Zeti Akhtar Aziz

KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa menjalankan siasatan menyeluruh terhadap Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz dan suaminya, Datuk Tawfiq Ayman susulan pengesahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekurang-kurangnya RM65 juta dana yang dikaitkan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) telah disimpan dalam akaun bank di Singapura milik suami kepada bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) itu.

Tawfiq sebelum ini telah disoal siasat polis berhubung dana 1MDB, bagaimanapun tiada maklumat terkini mengenai siasatan itu, kata Ahli Jawatankuasa Pusat MCA, Quek Tai Seong.

Tegas beliau, skandal 1MDB telah menghantui rakyat Malaysia dan meninggalkan kesan besar kepada landskap politik negara.

Malah, disebabkan pelbagai spekulasi mengenai kes itu, 1MDB didakwa sebagai punca kejatuhan Kerajaan Persekutuan yang ketika itu telah memerintah Malaysia selama 61 tahun.

Oleh itu, adalah wajar SPRM menjalankan siasatan menyeluruh supaya rakyat dapat mengetahui kisah sebenar dan tuduhan membuta tuli terhadap individu yang tidak bersalah akan dihentikan.

”Sebagai bekas Gabenor BNM, Zeti secara tidak langsung harus bertanggungjawab ke atas kes 1MDB. Dia sepatutnya mengetahui tentang kejadian itu.

”Oleh itu, sudah tiba masanya pasangan itu bekerjasama dengan pihak berkuasa mengenai apa yang sebenarnya berlaku supaya siasatan lanjut dapat diteruskan,” katanya sambil mempersoalkan sikap berdiam diri Zeti dan Ayman meskipun isu ini hangat diperkatakan di media.

Tai Seong berkata, sikap yang diambil bekas Gabenor BNM itu mencetuskan pelbagai andaian orang ramai.

”Mengambil pendekatan senyap tidak bermakna tiada kesalahan dilakukan.

”Hadir untuk memberi keterangan di mahkamah tidak akan menjadikan seseorang individu sebagai pesalah kerana di bawah kedaulatan undang-undang di negara ini, semua orang dianggap tidak bersalah sehingga didapati bersalah.

”Kami berharap Zeti dan pasangannya memberi penjelasan supaya siasatan lanjut dapat dijalankan,” ujar beliau.

Beliau yang juga Setiausaha Badan Perhubungan MCA Negeri Pahang menambah, tidak kira siapa pun individu berkenaan, apa pun latar belakang, semua orang adalah sama di sisi undang-undang.

Ia bermula dengan penyiasatan terhadap kes yang dilaporkan, seterusnya, pihak pendakwa raya akan memfailkan kes mengikut undang-undang.

Selepas itu, kes itu boleh dibicarakan di hadapan badan kehakiman dan jika didapati bersalah dan sabit kesalahan, dia akan dijatuhkan hukuman mengikut undang-undang.

”Ini adalah prosedur yang mesti dilaksanakan dengan ketat dan adil untuk mendapatkan penjelasan yang tepat dan teliti mengenai keadaan sebenar kes itu. Isu yang paling penting ialah mendedahkan pelaku sebenar,” katanya.

Tai Seong berkata, pelaku tersebut harus bertanggungjawab atas sebarang kesalahan yang dilakukan, menerima apa sahaja hukuman yang dikenakan dalam undang-undang atau mengemukakan pembelaan yang kukuh yang membuktikan mereka tidak bersalah di mahkamah. – MalaysiaGazette