Orang ramai beratur untuk menjalani ujian COVID-19 di tapak ujiannya di tengah Seoul, Korea Selatan - Foto Reuters

SEOUL – Jumlah kes covid-19 harian Korea Selatan meningkat ke paras tertinggi  apabila pihak berkuasa menghentikan pengecualian kuarantin bagi pengembara yang diberi vaksin sepenuhnya.

Agensi Kawalan dan Pencegahan Penyakit Korea (KDCA) melaporkan 5,266 kes pada  Rabu, sehari selepas jumlah harian meningkat melebihi 5,000 buat kali pertama di tengah-tengah kebimbangan mengenai peningkatan mendadak pesakit yang mengalami gejala teruk.

Korea Selatan akan mewajibkan kuarantin 10 hari untuk semua pengembara mulai Jumaat ini dan menghentikan pengecualian kepada mereka yang telah divaksin  sepenuhnya, kata KDCA.

Memetik laporan Reuters, langkah itu dibuat selepas Korea Selatan mengesahkan lima kes pertama varian Omicron lewat hari Rabu, termasuk pasangan yang divaksin sepenuhnya yang tiba minggu lalu dari Nigeria, diikuti oleh dua ahli keluarga dan seorang rakan mereka.

Kerajaan mengehadkan ketibaan dari lapan negara termasuk Afrika Selatan, tempat varian itu mula dikenal pasti.

Nigeria juga akan dimasukkan ke dalam senarai negara yang dihadkan, berkuat kuasa Jumaat ini.

Selain itu, penggantungan penerbangan terus dari Ethiopia akan bermula pada Sabtu, kata KDCA.

Hampir 92 peratus populasi dewasa telah divaksin, dan Korea Selatan kini fokus kepada vaksinasi kanak-kanak dan program penggalak, tetapi pakar memberi amaran bahawa kes boleh terus meningkat disebabkan oleh penyebaran varian yang berpotensi lebih mudah ditularkan.

Bilangan kes telah meningkat sejak sekatan penjarakan fizikal dilonggarkan bulan lalu, dan kerajaan minggu ini menangguhkan rancangan untuk mengurangkan sekatan disebabkan tekanan yang semakin meningkat kepada sistem penjagaan kesihatan.

Data KDCA menunjukkan bilangan kes teruk meningkat kepada  733, dan 90 peratus katil unit rawatan rapi di Seoul telah dipenuhi, dengan 915 pesakit menunggu giliran masing-masing.

Jumlah jangkitan di negara itu meningkat kepada 457,612 dengan 3,705 kematian. – Reuters