KUANTAN – Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS) kini sah berstatus universiti penuh dan bergelar Universiti Islam Pahang Sultan Haji Ahmad Shah (UnIPSAS).
Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah berkenan menerima menghadap Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr. Noraini Ahmad, di Istana Negara pada Rabu bagi menerima Sijil Pendaftaran KUIPSAS sebagai sebuah universiti penuh.
Wan Rosdy yang juga Pro-Canselor UnIPSAS turut melahirkan kesyukuran kerana dengan pendaftaran UnIPSAS secara rasmi sebagai sebuah universiti penuh menjadi kejayaan serta kebanggaan semua pihak di Pahang Darul Makmur.
“Selepas dinobatkan sebagai Universiti Islam Pertama di Negeri Pahang dan Pantai Timur, UnIPSAS boleh memainkan peranan yang lebih luas dalam perkembangan semasa sektor pengajian tinggi di Malaysia.
“Hala tuju UnIPSAS yang jelas mensasarkan sebanyak 70 peratus enrolmen pendidikan tinggi negara serta menyumbang kepada sasaran lapan peratus kadar enrolmen Sarjana dan Doktor Falsafah pada tahun 2025,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media pengumuman nama baharu KUIPSAS sebagai Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) di Majlis Perbandaran Bentong pada Rabu.
Turut hadir, Rektor UnIPSAS, Prof. Madya Dr. Mohd Zawavi Zainal Abidin; Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Seri Dr. Sallehuddin Ishak; dan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pelajaran Negeri Pahang, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad.
Menyingkap sejarah, idea penubuhan menara gading ini tercetus pada tahun 1980 hasil Seminar Ulamak Pahang dan dibincangkan sekali lagi dalam seminar Penerapan Nilai-nilai Agama pada 1985.
Pada tahun 1994 Kolej Islam Pahang (KIP) ditubuhkan dan dua tahun selepas itu ia dikenali pula sebagai Kolej Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KIPSAS) sebelum dinaiktaraf Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS) pada 20 Oktober 2015.
Sehingga kini UnIPSAS telah melahirkan 5000 graduan dan menawarkan 27 program di semua peringkat pengajian.
UnIPSAS yang menyambut Jubli Perak sempena ulang tahun penubuhannya yang ke-25 pada tahun ini membuktikan institusi pengajian tinggi itu terus kekal relevan. – MalaysiaGazette