Jonathan Yasin

KUALA LUMPUR – Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mengambil langkah proaktif menerusi Program Menyemai Kasih Rakyat (MEKAR) bagi memastikan urusan pendaftaran dokumen pengenalan diri individu yang berkelayakan dapat dilaksanakan dengan mudah di seluruh negara termasuk di kawasan pedalaman.

Timbalan Menteri Dalam Negeri II, Datuk Jonathan Yasin berkata, program itu merangkumi Program Pendaftaran Bergerak (Unit Mobile) dan Bas Mobile.

Menurutnya, program MEKAR menyediakan pelbagai perkhidmatan termasuklah khidmat nasihat berkaitan pendaftaran kad pengenalan, kelahiran dan kematian.

“Kerjasama bersama Agensi berkaitan seperti Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) turut dilaksanakan oleh JPN bagi memastikan proses pendaftaran dokumen pengenalan diri di kalangan orang Asli dapat dilaksanakan dengan lebih mudah,” katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ramli Mohd Noor (BN-Cameron Highlands)yang mahu Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyatakan langkah yang dilakukan oleh pihak kerajaan bagi menyelesaikan isu Orang Asli yang masih tidak mempunyai dokumen yang sah sehingga kini.

Terdahulu, Jonathan memaklumkan, Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 [Akta 299] bagi Semenanjung Malaysia, Ordinan Pendaftaran Kelahiran dan Kematian [Cap. 123] bagi Negeri Sabah dan Ordinan Pendaftaran Kelahiran dan Kematian [Cap. 10] bagi Negeri Sarawak memperuntukkan bahawa, setiap kelahiran di Malaysia hendaklah didaftarkan.

Dalam hal itu kata beliau, semua kelahiran kanak-kanak di Malaysia termasuk kelahiran anak bagi pasangan Orang Asli perlu didaftarkan dan dikeluarkan dokumen Sijil Kelahiran.

“Semua kanak-kanak Orang Asli yang telah mencapai umur 12 tahun hendaklah memohon kad pengenalan berdasarkan sijil kelahiran tersebut,” ujarnya. – MalaysiaGazette