Indeks nilai seunit eksport dan import bulanan Malaysia masing-masing mencatatkan pertumbuhan positif 1.4 peratus dan 0.6 peratus pada Oktober 2021.

KUALA LUMPUR – Indeks nilai seunit eksport dan import bulanan Malaysia masing-masing mencatatkan pertumbuhan positif 1.4 peratus dan 0.6 peratus pada Oktober 2021.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, indeks nilai seunit eksport meningkat 1.4 peratus pada Oktober 2021 berbanding bulan sebelumnya, disumbangkan oleh kenaikan indeks minyak galian (+6.2%), minyak & lemak binatang & sayur-sayuran (+3.3%) dan bahan kimia (+0.9%).

Sementara itu, indeks volum eksport meningkat 1.8 peratus pada bulan yang sama, disumbangkan oleh barang-barang keluaran kilang (+8.1%), bahan kimia (+7.1%) dan alat jentera & kelengkapan pengangkutan (+4.1%).

Indeks volum eksport pelarasan bermusim menyusut 8.0 peratus daripada 165.9 mata kepada 152.6 mata.

Berdasarkan perbandingan tahunan, kedua-dua indeks nilai seunit dan volum eksport masing-masing meningkat 16.4 peratus dan 7.8 peratus.

”Indeks nilai seunit import turut meningkat 0.6 peratus pada Oktober 2021 berbanding bulan sebelum, disumbangkan oleh kenaikan indeks minyak galian (+4.7%), barang-barang keluaran kilang (+0.04%) dan alat jentera & kelengkapan pengangkutan (+0.03%).

”Sementara itu, indeks volum import meningkat 3.6 peratus pada Oktober 2021 berbanding bulan sebelum, disumbangkan oleh kenaikan indeks minyak galian (+8.2%), alat jentera & kelengkapan pengangkutan (+4.6%) dan barang-barang keluaran kilang (+3.7%),” katanya dalam kenyataan di sini.

Indeks volum import pelarasan bermusim pada Oktober 2021 menyusut 0.8 peratus daripada 160.9 mata kepada 159.6 mata berbanding tahun sebelum, kedua-dua indeks nilai seunit dan volum import masing-masing meningkat 7.5 peratus dan 19.2 peratus

Dalam pada itu, Jabatan Perangkaan Malaysia melaporkan terma perdagangan Malaysia mencatatkan pertumbuhan 0.8 peratus bulan ke bulan kepada 106.7 mata pada Oktober 2021.

Prestasi terma perdagangan Malaysia kekal positif 8.3 peratus daripada 9 8.5 mata pada Oktober tahun lalu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast