GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang mahu Kerajaan Pusat mewujudkan satu pihak berkuasa lembangan untuk melindungi kawasan tadahan air di Ulu Muda, Kedah demi menjaga kepentingan 4.2 juta rakyat membabitkan Kedah, Perlis serta Pulau Pinang.

Pengerusi Jawatankuasa Pengangkutan dan Infrastruktur negeri, Zairil Khir Johari berkata, cadangan itu diutarakan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn. Bhd. (PBAPP) kepada kerajaan negeri bagi memastikan kawasan tadahan air Ulu Muda dikendalikan secara lestari sebagai kawasan tadahan air utama di Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER).

“Pengurusan lestari oleh Kerajaan Persekutuan harus dilaksanakan untuk menghentikan dan melarang semua aktiviti pembalakan, perlombongan dan lain-lain yang boleh merosakkan kawasan tadahan air Ulu Muda.

“Selain itu, pihak berkuasa lembangan juga penting dalam pelaksanaan program air untuk masa depan termasuk dalam menangani perubahan iklim; penggunaan air secara berhemat serta menjamin bekalan air.

“Keutamaan ini secara meluas menggambarkan cabaran yang sedang dihadapi oleh Negeri Perlis, Negeri Kedah dan Negeri Pulau Pinang berhubung keselamatan bekalan air di NCER,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan H’ng Mooi Lye (DAP – Jawi) di Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Tambah Zairil, Kerajaan Persekutuan harus menjadi penyumbang utama melalui peruntukan tahunan persekutuan yang diperoleh daripada hasil cukai dari negeri Perlis, Kedah dan Negeri Pulau Pinang.

“Sebagai penerima manfaat langsung dari UMBA yang dicadangkan, ketiga-tiga negeri ini juga boleh menyumbang untuk membiayai lembaga berkenaan,” kata beliau. – MalaysiaGazette