Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bersama isterinya, Tun Siti Hasmah Mohamad Ali bergambar bersama pada Majlis Pelancaran Buku Speaking of Mass Destruction...A Journey to Iraq seen by Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya. Foto AFFAN FAUZI, 03 DISEMBER 2021.

PUTRAJAYA – Berita mengenai penambahan seorang lagi dilantik menjadi penasihat Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mendapat perhatian bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Secara sinis, Dr. Mahathir berkata, sepatutnya Perdana Menteri melantik lebih ramai penasihat di bawah pentadbirannya.

“Patut ada banyak lagi (penasihat PM). Mana cukup tiga,” sindirnya kepada media selepas melancarkan buku Speaking of Mass Destruction…A Journey to Iraq seen by Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali di Yayasan Kepimpinan Perdana hari ini.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad berkata, Ismail Sabri akan mendapat seorang lagi penasihat khas yang bertanggungjawab menasihati beliau dalam bidang kesihatan dan akan dilantik dalam masa terdekat.

Penasihat khas itu kini sedang dalam proses lantikan yang mempunyai jaringan hubungan, pengalaman dan kepakaran dalam hal berkaitan dengan skop tugas mereka yang boleh memberi faedah kepada usaha pembangunan negara selari dengan konsep Keluarga Malaysia.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said dilantik sebagai Penasihat Khas Perdana Menteri (Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia) dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dilaporkan dilantik sebagai Penasihat Khas Perdana Menteri (Agama).

Dalam pada itu, Dr. Mahathir berkata, Pejuang Tanahair (Pejuang) menurut Mahathir tidak akan mengambil bahagian dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke 12 pada 18 Disember depan.

Ini kerana Pejuang akan menumpukan perhatian kepada Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU-15) kelak.

“Pejuang tidak akan bertanding di Sarawak dan hanya akan bertanding di PRU-15. Tidak (kempen) dan kita tidak terlibat sama macam PRN Melaka,” katanya lagi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12) Sarawak diadakan pada 18 Disember depan.

Tarikh penamaan calon pula pada 6 Disember, manakala pengundian awal diadakan pada 14 Disember. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Haaa…yg ko lantik Council of Elders tu lg tak senonoh…salah sorang si Zeti tu satu family perompak

Comments are closed.