Mohamed Khaled Nordin

KUALA LUMPUR – Tan Sri Muhyiddin Yassin didakwa semakin keliru sejak tidak lagi menjadi perdana menteri dan tewasnya Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November lalu.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, hujah Pengerusi PN itu yang mengatakan sistem parti politik yang dominan seperti berlaku pada era pentadbiran Barisan Nasional (BN) sebagai tidak lagi sesuai adalah kenyataan mengarut.

Selain itu, kata beliau, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu turut mendakwa BN lebih memusatkan kuasa kepada individu bukan parti.

“Agaknya dia lupa, dia tersingkir dari jawatan perdana menteri pada Ogos lalu kerana PPBM itu tidak dominan dalam kerajaan PN dan kerana PPBM itu kecillah maka kerajaan pimpinannya begitu mudah sekali tersungkur.

“Atau mungkin beliau tidak ingat, ketidakstabilan politik yang Malaysia alami selama 42 bulan lepas kerana tiadanya parti terbesar dan dominan dalam membentuk kerajaan.

“Ini yang menyaksikan berlakunya tragedi puluhan ahli Parlimen lompat melompat parti demi memperdagangkan kedudukan mereka bagi membentuk kerajaan,” katanya menerusi hantaran Facebooknya hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Muhyiddin pada Jumaat lalu yang dilaporkan memberi amaran mengenai kesan buruk akibat sistem parti politik dominan seperti berlaku pada era pentadbiran BN sebelum gabungan itu tumbang pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2018.

Dalam ucapan sempena perasmian persidangan Perwakilan Nasional Parti Gerakan ke-50, bekas perdana menteri itu berkata, pemusatan kuasa diperoleh BN menyaksikan salah guna kuasa dan rasuah berlaku begitu berleluasa berikutan ketiadaan prinsip semak dan imbang.

Menurut Mohamed Khaled, Malaysia tidak pernah menyaksikan episod khianat mandat rakyat dalam magnitud sedemikian melainkan hanya sejak PPBM menjadi kerajaan dalam Pakatan Harapan (PH) dan PN.

“Sejak itu, budaya politik curang itu menjadi kelaziman.

“Atau juga Muhyiddin tidak lagi boleh membezakan Malaysia ini sebuah demokrasi ala Westminster iaitu hanya parti terbesar dan terkuat dijemput untuk membentuk kerajaan,” katanya.

Kata beliau, di seluruh dunia, pergerakan politik kepartian bertungkus lumus untuk memenangi pilihan raya dengan kerusi terbanyak dan kerajaan boleh fokus membangun negara bukan menyelamatkan kuasa.

“Kita hendak melihat dalam PRU akan datang, berapa banyak kerusi yang akan PPBM tandingi. Dalam PRU-14, mereka menang hanya 13 kerusi sahaja tetapi pemimpin mereka menjadi perdana menteri.

“Mungkin kerana itu PPBM selesa untuk hanya menjadi parti kecil tetapi memerlukan nyawa dari UMNO.

“Insya-Alah dalam PRU akan datang, UMNO akan menjadi parti dominan dan mengembalikan demokrasi ala Westminster yang sebenarnya kepada Malaysia,” katanya. – MalaysiaGazette