GEORGE TOWN – Indonesia sudah melakukan pemeriksaan teknikal sebagai persediaan pelancaran koridor perjalanan antara kedua-dua negara melalui Aturan Koridor Perialanan (TCA) atau Laluan Bagi Orang Sudah Divaksinasi (VTL) yang dijangka dilaksanakan awal tahun depan.
Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Hermono berkata, pasukan teknikal itu membuat pemeriksaan berkaitan di negara ini selama tiga hari dan tiada sebarang isu berbangkit setakat ini.
“Tiga perkara ditekankan pasukan itu dalam pemeriksaan tersebut iaitu penggunaan aplikasi Peduli Lindungi sama seperti aplikasi MySejahtera; dokumentasi lengkap divaksinasi serta mesti menjalani ujian RT-PCR.
“Semua proses pemeriksaan teknikal itu berjalan lancar sebelum pasukan tersebut berlepas ke Singapura bagi tujuan sama,” katanya kepada pemberita hari ini.
Media tempatan pada 10 November lalu melaporkan Malaysia dan Indonesia bersetuju untuk melaksanakan koridor perjalanan antara kedua-dua negara melalui TCA atau Laluan VTL dijangka awal tahun depan.
Pelaksanaan itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan rakan sejawatannya, Joko Widodo dalam satu kenyataan bersama.
Ismail Sabri berkata, sebagai permulaan, inisiatif koridor perjalanan itu akan menghubungkan Kuala Lumpur dan Jakarta melalui jalan udara sebelum boleh ditambah destinasi lain yang menunjukkan risiko yang rendah.
Dalam perkembangan sama, Hermono berkata, pihaknya turut mengharapkan pemintaan Kerajaan Pulau Pinang untuk turut menyenaraikan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) sebagai laluan VTL terutamanya melibatkan Malaysia dan Indonesia terlaksana.
“Kita percaya VTL antara Pulau Pinang dengan Indonesia berpontensi membawa manfaat besar kerana negeri ini merupakan lokasi terkenal bagi pelancongan perubatan dalam kalangan rakyat Indonesia,” kata beliau.
Sementara itu, Hermono turut memaklumkan setakat ini 46 peratus penduduk Indonesia sudah lengkap menerima dua dos vaksin manakala 67 peratus lengkap dos pertama.
“Kita jangkakan 80 peratus daripada 208 juta penduduk Indonesia akan lengkap divaksinasi menjelang akhir tahun ini,” tegasnya. – MalaysiaGazette