Teng Chang Khim

SHAH ALAM – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri diingatkan agar tidak membangkitkan isu mogok dan ketiadaan peruntukan dalam projek penyelenggaraan jalan ketika sesi penggulungan peringkat jawatankuasa.

Datuk Teng Chang Khim ketika bangun membaca peraturan tetap Dewan Undangan Negeri (DUN) berkata, sekarang ini dewan berada di peringkat jawatankuasa dan mana-mana ADUN harus merujuk kepada perkara yang dibangkitkan.

“Ucapan Pelabuhan Klang itu tadi sepatutnya dinyatakan ketika perbahasan ucapan belanjawan, bukan di peringkat ini (jawatankuasa) sebab perkara itu (ugutan hendak mengadakan mogok besar-besaran) tidak ada dalam penggulungan ini.

“Keduanya, Menteri Pengangkutan tidak ada dalam dewan (DUN) ini, kesian Exco JKR (Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur & Kemudahan Awam, Ir. Izham Hashim) nak jawab nanti,” katanya ketika Azmizam menyatakan akan mengadakan mogok henti tugas kenderaan perdagangan semalam seminggu dalam tempoh terdekat.

Azmizam kemudian bangun menyatakan, beliau terpaksa membangkitkan perkara itu selepas mendengar jawapan mengenai perbahasan yang dibangkitkan olehnya dalam perbahasan bajet.

“Saya bangkitkan ini apabila Ir. Izham menyatakan peruntukan tidak dapat daripada Kerajaan Persekutuan. Jadi, saya nak bangkit kat mana”,” soal beliau.

Chang Khim berkata, Pelabuhan Klang mungkin boleh membangkitkan perkara itu semasa usul pembangunan nanti.

Azmizam kemudian akur dan mengucapkan terima kasih kepada Bandar Baharu Klang yang juga Exco Pelaburan, Perdagangan, Perindustrian negeri bahawa beliau tidak sabar membangkitkan perkara berkaitan ketiadaan peruntukan untuk menyelenggara jalan persekutuan ke Pelabuhan Klang.

Terdahulu ADUN Pelabuhan Klang itu memberi amaran kepada Menteri Kerja Raya dan Menteri Pengangkutan bahawa satu mogok henti tugas kenderaan perdagangan secara besar-besaran akan diadakan, sekiranya kerajaan Persekutuan tidak menyediakan peruntukan kepada Selangor untuk pembaikan jalan menuju ke Pelabuhan Klang. – MalaysiaGazette

ADUN Pelabuhan Klang rancang mogok besar-besar kenderaan perdagangan