ADUN Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri

SHAH ALAM – Satu mogok henti tugas kenderaan perdagangan secara besar-besaran akan diadakan, sekiranya kerajaan Persekutuan tidak menyediakan peruntukan kepada kerajaan Selangor untuk pembaikan jalan menuju ke Pelabuhan Klang.

Perkara itu dimaklumkan Azmizam Zaman Huri (PKR-Pelabuhan Klang) yang turut memberi amaran kepada Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof dan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong agar mengambil perhatian dengan desakan itu.

Menurut beliau, Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor memerlukan kira-kira RM88 juta peruntukan untuk kerja pembaikan jalan persekutuan dan jalan kampung di kawasan berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, sebaik kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang akibat Langkah Sheraton pada Februari 2020, kerajaan yang mengambil alih pentadbiran Putrajaya menghentikan peruntukan penyelengaraan jalan ke Pelabuhan Klang.

“Saya telah berbincang dengan Ahli Parlimen Klang (Charles Santiago) dan perkara ini juga akan dibawa di Dewan Undangan Negeri (DUN) dan dengan ini Pelabuhan Klang mengumumkan, sekiranya Menteri Kerja Raya dan Menteri Pengangkutan tidak mahu memberikan peruntukan kepada kerajaan Selangor melalui JKR Selangor dan kawasan Pelabuhan Klang, kita akan melancarkan mogok besar-besaran.

“Di mana mogok ini melibatkan semua kenderaan perdagangan akan henti tugas selama seminggu sehingga kerajaan Persekutuan mengumumkan peruntukan untuk pembaikan jalan di kawasan Pelabuhan Klang dan jalan menuju ke kawasan Pelabuhan Klang.

“Perkara ini tidak berlaku ketika PH memerintah, yang mana kerajaan Selangor menerima peruntukan RM50 juta dari dua kementerian ini bagi tujuan menyelenggara jalan yang rosak,” katanya pada sesi perbahasan Bajet 2022 Selangor di sidang DUN, hari ini.

Menurut Azmizam, selepas kerajaan baharu mengambil alih, peruntukan itu telah dihentikan, menyebabkan JKR Selangor tidak mempunyai bajet untuk menyelenggarakan jalan berkenaan.

Katanya, jalan persekutuan menuju ke Pelabuhan Klang itu turut melibatkan kawasan Pandamaran, Bandar Baharu Klang, Sentosa, Kota Kemuning, Batu Tiga, Sementa, Meru dan Kuala Langat.

“Jangan ingat saya main-main ya.. saya pernah buat (mogok) bersama ADUN Taman Templer, Mohd Sanu Hamzan pada tahun 2012 dan 2013, yang turut serta ADUN Kota Anggerik, iaitu menghentikan semua lori kontena selama tiga hari kerana protes masalah Digi Kontena pada masa itu,” katanya. – MalaysiaGazette