Timbalan Menteri Kewangan I, Mohd Shahar Abdullah.

KUALA LUMPUR – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) terus berusaha menangani aktiviti penyeludupan meskipun negara sedang berdepan pandemik Covid-19.

Timbalan Menteri Kewangan I, Mohd Shahar Abdullah berkata, sebanyak lapan langkah diambil oleh JKDM untuk membanteras aktviti penyeludupan terutama melibatkan rokok dan minuman keras tidak sah.

“Sepanjang tahun 2020, Jabatan JKDM telah merekodkan jumlah perolehan kes rampasan rokok dan minuman keras tidak sah sebanyak 2,842 kes yang keseluruhannya bernilai RM97.34 juta dan melibatkan nilai kehilangan cukai sebanyak RM707.14 juta.

“Bagi tahun 2021 sehingga September pula, statistik yang sama mencatatkan sebanyak 2,518 kes rampasan yang bernilai RM41.43 juta dengan jumlah kehilangan cukai terlibat adalah sebanyak RM281.69 juta,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Nga Kor Ming (PH-Teluk Intan) yang ingin tahu jumlah kerugian hasil negara akibat dari aktiviti penyeludupan haram termasuk arak dan rokok serta apakah langkah-langkah yang sedang diambil oleh kerajaan untuk mengatasi masalah serius ini.

Mengulas lanjut, Mohd Shahar berkata, dalam usaha membendung ketirisan hasil cukai akibat aktiviti penyeludupan rokok dan minuman keras, pihak JKDM sentiasa mempergiatkan kawalan dan tindakan penguatkuasaan melalui pelbagai aktiviti serbuan, rondaan darat dan air, sekatan jalan raya, pemeriksaan kapal, bot atau kenderaan, di samping melakukan pelbagai Operasi Khas dan Operasi Outlet Rokok dan Minuman Keras.

“Sungguhpun negara sedang menghadapi pandemik Covid-19, usaha menangani aktiviti penyeludupan terus dipertingkatkan oleh JKDM dari semasa ke semasa,” ujarnya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast