loan scam money ringgit

KUALA LUMPUR – Malaysia semakin mendapat tarikan perniagaan dengan lebih ramai majikan memberikan kenaikan gaji kepada pekerja mereka tahun ini berbanding tahun lepas.

Ia merupakan dapatan Tinjauan Gaji MEF Untuk Eksekutif dan Bukan Eksekutif 2021.

Tinjauan Gaji tahunan MEF edisi ke-27, yang dilancarkan oleh Presiden Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman, menunjukkan 65.20 peratus syarikat responden memberikan kenaikan gaji sama ada kepada semua atau kakitangan eksekutif tertentu pada 2021 berbanding 58.40 peratus pada 2020.

Manakala 66.40 peratus memberi kenaikan gaji kepada semua atau bukan eksekutif tertentu pada 2021 berbanding 61.70 peratus pada 2020.

”Purata kenaikan gaji bagi eksekutif pada 2021 ialah 4.40 peratus. Bagi bukan eksekutif, purata kenaikan gaji pada 2021 ialah 4.43 peratus,” katanya.

Tinjauan itu turut meramalkan purata kenaikan gaji bagi eksekutif pada 2022 pada 4.37 peratus, sementara bagi bukan eksekutif, purata unjuran kenaikan gaji untuk 2022 4.17 peratus.

Tinjauan itu juga menunjukkan lebih 90 peratus syarikat responden menggunakan prestasi pekerja sebagai kriteria utama untuk menentukan kuantum kenaikan gaji eksekutif dan bukan eksekutif, diikuti dengan kapasiti syarikat untuk membayar.

Manakala kira-kira 60 peratus syarikat menentukan kenaikan gaji berdasarkan tahap keuntungan atau produktiviti, manakala lebih separuh daripada syarikat menentukan kuantum kenaikan gaji berdasarkan kadar pasaran.

Dari segi bonus, tinjauan menunjukkan 68.30 peratus daripada syarikat responden memberikan bonus kepada eksekutif dan bukan eksekutif pada 2021 dan meramalkan bahawa bonus untuk 2022 ialah 1.82 dan 1.66 bulan masing-masing untuk eksekutif dan bukan eksekutif.

“Penunjuk positif ialah bonus yang diramalkan untuk 2022 adalah lebih tinggi daripada bonus sebenar pada 2021 iaitu 1.58 bulan dan 1.44 bulan untuk eksekutif dan bukan eksekutif masing-masing,” tambahnya.

Bagi pengambilan graduan baru, Tinjauan Gaji MEF Untuk Eksekutif menunjukkan 58.20 peratus daripada syarikat responden mengambil pekerja baru.

Syed Hussain berkata, daripada segi jenis pekerjaan yang ditawarkan kepada graduan yang baharu diambil bekerja, 80.90 peratus syarikat responden menawarkan pekerjaan mahir, berbanding 51.80 peratus syarikat yang menawarkan pekerjaan separuh mahir.

Sebanyak 5.0 peratus daripada syarikat responden pula meletakkan graduan yang baharu diambil bekerja dalam pekerjaan berkemahiran rendah.

Tinjauan Gaji MEF untuk Eksekutif telah disertai oleh 212 syarikat daripada sektor pembuatan dan bukan perkilangan, dan meliputi 180 penanda aras jawatan sebanyak 23,448 eksekutif, manakala 208 syarikat menyertai Kaji Selidik untuk Bukan Eksekutif yang meliputi 66,420 bukan eksekutif dengan 129 jawatan. – MalaysiaGazette