Insiden yang berlaku Kilometer 42.3 Lebuhraya Kuala Lumpur ke Karak pada petang Selasa melibatkan tiga buah kenderaan dan mengorbankan seorang penunggang motosikal .

KUANTAN – Seorang pekerja carigali minyak maut apabila motosikal berkuasa besar yang ditunggangnya merempuh kereta dan lori tangki minyak sawit di Bentong dekat sini petang semalam.

Ketua Polis Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, insiden berlaku di Kilometer 42.3 Lebuhraya Kuala Lumpur ke Karak (hala barat) pada pukul 2.15 petang.

Hasil siasatan polis mendapati penunggang motosikal Aprilia itu dari Bukit Tinggi menghala ke Kuala Lumpur hilang kawalan di satu selekoh lalu sebelum melanggar belakang sebuah kereta Perodua Myvi.

“Selepas melanggar Myvi, motosikal bergerak ke kiri melanggar penghadang besi belakang tayar kanan sebuah lori tangki membawa muatan minyak sawit.

“Akibat kemalangan tersebut, mangsa berusia 32 tahun yang bekerja di Sarawak terpelanting dan jatuh di tengah jalan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi malam tadi.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Dalam pada itu, Zaiham memohon kerjasama mana-mana pihak yang melihat kejadian tersebut untuk tampil bagi membantu siasatan.

Sesiapa yang mempunyai maklumat boleh menghubungi ASP Zulkifli Yahya, Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (KBSPTD) Bentong di talian 09-2222222.- MalaysiaGazette