Syed Zaid Albar

KUALA LUMPUR – Masih ada ‘potensi yang amat besar’ bagi pasaran modal Islam (ICM) untuk meluaskan capaiannya kepada ekonomi pemegang kepentingan yang lebih meluas menerusi inisiatif mampan.

Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti (SC) Datuk Syed Zaid Albar berkata, dengan minat yang semakin tinggi untuk melabur secara bertanggungjawab, usaha akan dibuat untuk meningkatkan akses pelabur kepada syarikat patuh Syariah yang mempraktiskan amalan alam sekitar, sosial dan tadbir korporat (ESG).

Ini adalah untuk menggalakkan syarikat dan pemegang kepentingan berkaitan menimbangkan impak mereka ke atas masyarakat dan alam sekitar dalam keputusan perniagaan mereka, yang akan meningkatkan lagi tanggungjawab secara sosial dan nilai etika syarikat patuh Syariah.

Beliau berkata, panduan itu penting untuk menerapkan keperluan Syariah dan standard ESG bagi pelabur dan syarikat. Panduan ini akan memanfaatkan metodologi penyaringan Syariah SC dan penyaringan yang diiktiraf antarabangsa.

“Bagi memberi impak yang lebih besar kepada pembangunan sosio-ekonomi Malaysia, SC akan mengkaji untuk mengembangkan penggunaan rangka kerja ICM sebagai rujukan dan produk dan perkhidmatannya sebagai sumber pembiayaan bagi pembangunan seterusnya sektor kewangan sosial Islam,” katanya dalam ucap tama beliau pada perasmian Sidang Kemuncak Pasaran Modal Islam Antarabangsa 2021 (ICMS2021) secara maya yang dianjurkan oleh Pusat bagi Penyelidikan dan Latihan (CERT).

Pada masa depan, Syed Zaid berkata mungkin ada peluang untuk menyepadukan penilaian impak dengan instrumen kewangan sosial Islam bagi membolehkan pelabur mengukur sama ada modal yang dilaburkan mencapai hasil seperti yang diingini.

“Pelaburan yang membawa impak adalah modal yang pasaran Islam berpotensi untuk kembangkan kerana ia sesuai dengan pandangan Islam tentang kemuliaan menjalankan perniagaan yang dibenarkan dan menyumbang kembali keuntungan kepada masyarakat.

“Meskipun ESG berusaha untuk mengenal pasti risiko bukan kewangan yang mungkin memberi impak kepada penilaian sesebuah syarikat, pelaburan yang membawa impak sebaliknya berusaha untuk menyediakan impak yang boleh diukur, persekitaran positif atau impak sosial,” katanya.

Beliau berkata ini melibatkan perkongsian pengetahuan, keupayaan penyelidikan dan penyelarasan dengan pemegang kepentingan menerusi kawal selia yang dipermudahkan dan persekitaran pembangunan bagi inovasi kewangan sosial.

Menurutnya, inovasi dalam segmen seperti sukuk Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab (SRI) dan wakaf memperlihatkan bagaimana ICM mempermudahkan pembentukan modal bagi tujuan komersil, selain menyumbang kepada hasil alam sekitar dan masyarakat yang positif.

Hasil ini, katanya, membantu penerbitan sukuk sosial SRI pertama untuk membiayai sekolah amanah pada 2015 dan sukuk hijau pertama dunia pada 2017 bagi menangani jurang pembiayaan global dalam pembiayaan hijau.

Ini diikuti peningkatan volum terbitan sukuk SRI bagi projek seperti jana kuasa solar, bangunan hijau, kuasa hidro dan rumah mampu milik.

“Pada 21 Jan, 2021, SC mengumumkan pengembangan Sukuk Sri dan Skim Geran Bon untuk membantu penerbit membiayai sehingga 90 peratus daripada kos semakan luaran.

“Setakat akhir November, ia telah memberi manfaat kepada 12 penerbit dengan jumlah terbitan US$1.3 bilion (US$1=RM4.23),” kata Syed Zaid.

Selain itu, katanya. SC telah mengambil langkah untuk memperkasakan pelabur menerusi pelbagai strategi, yang mana satu daripadanya adalah untuk meluaskan pilihan pelaburan menerusi nasihat pelaburan berkualiti tinggi.  – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast