Datuk Seri Wong Soon Koh

SIBU – Parti Sarawak Bersatu (PSB) akan melancarkan manifesto parti itu bagi Pilihan Raya Negeri ke-12 (PRN12), Khamis ini, menurut Presidennya Datuk Seri Wong Soon Koh.

Beliau berkata ia akan disiarkan melalui semua akhbar dan platform media sosial dalam Bahasa Inggeris, Bahasa Melayu, Bahasa Cina dan Bahasa Iban bagi memudahkan para pengundi di negeri ini yang terdiri daripada pelbagai kaum memahaminya.

Menurutnya pelancaran manifesto tidak dapat dilakukan seperti amalan biasa bagi mengelakkan perhimpunan melibatkan ramai orang dan penularan COVID-19.

“Manifesto kami adalah unik kerana dibuat dalam Bahasa Inggeris, Bahasa Melayu, Bahasa Cina dan Bahasa Iban,” katanya kepada pemberita pada sidang media di pejabat PSB Bawang Assan di sini hari ini.

Katanya manifesto itu antara lain akan menyentuh soal autonomi Sarawak, pembaharuan pendidikan dan sosio ekonomi, serta isu-isu melibatkan wanita, belia, rasuah, budaya dan agama.

Wong yang juga bekas menteri kabinet Sarawak berkata pihaknya turut bercadang memperkenalkan bantuan kewangan bagi penjagaan kanak-kanak, dengan kanak-kanak berusia bawah tiga tahun diberi bantuan bulanan RM200 setiap seorang, tiga hingga lima tahun (RM300) dan lima hingga 18 tahun (RM500).

Manakala bagi warga tua yang kurang upaya dan tidak mampu menyara perubatan dan kehidupan akan diberi bantuan RM600 sebulan.- BERNAMA