Bayi perempuan berusia sebulan kini memerlukan bantuan orang ramai bagi menjalani pembedahan jantung di Hospital Pulau Pinang.

GEORGE TOWN – Seorang bayi perempuan memerlukan bantuan orang ramai bagi menampung kos pembedahan jantungnya di Hospital Pulau Pinang (HPP) di sini.

Ia susulan Raisya Zameena yang kini berusia sebulan perlu menjalani pembedahan itu dengan segera bagi menyelamatkan nyawanya.

Menurut Abdul Rashid Abd Latif, anak sulungnya itu dilahirkan pada 4 November lalu dan tidak mempunyai sebarang gejala ganjil sebelum dibenarkan pulang ke rumah.

“Bagaimanapun, selepas 18 hari dilahirkan tiba-tiba saya lihat bibir Raisya menjadi ungu selain kadar pernafasannya tidak normal.

Abdul Rashid bersama isterinya menujukkan gambar anak mereka yang kini menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang berikutan masalah jantung.

“Berdasarkan pengalaman sebagai kakitangan perubatan saya mengesyaki Raisya mempunyai masalah jantung sebelum menghantar ke Hospital Baling, Kedah.

“Pihak hospital mengesahkan keadaan anak saya kritikal sebelum memindahkannya ke HPP bagi rawatan lanjut,” katanya menerusi satu kenyataan.

Tambah Abdul Rashid, kos pembedahan anak sulungnya itu berjumlah RM110,000 dan mereka hanya mampu menampung RM50,000.

“Susulan itu, kami meminta bantuan daripada daripada pertubuhan kebajikan, One Hope Charity and Welfare (One Hope Charity) bagi mengumpul dana kos perubatan Raisya,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi pertubuhan kebajikan, One Hope Charity, Datuk Chua Sui Hau berkata, pakar jantung mengesahkan nyawa bayi berkenaan terancam susulan pembuluh darah dan pulmonari arteri bertukar tempat selepas terkeluar dari vertical.

“Raisya perlu menjalani pembedahan dalam tempoh enam minggu selepas dilahirkan bagi menyelamatkan nyawanya.

“Pihak keluarga memberi kebenaran kepada kami untuk mengumpul kos perubatan dari orang awam sekali gus menguruskan rawatan bayi mereka,” kata beliau.

Sehubungan itu, sumbangan boleh disalurkan menerusi akaun bank One Hope Charity & Welfare 3193433435 (Public Bank) atau menerusi laman sesawang www.onehopecharity.org.

Orang ramai boleh menghubungi talian 016 419 2192, 019 232 2192 atau 04 539 9212 untuk maklumat lanjut. – MalaysiaGazette