KUALA LUMPUR – Polis berjaya merampas 3,800 karton rokok seludup dan menahan dua individu menerusi serbuan berasingan di ibu negara dan Petaling Jaya dekat sini semalam.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata, kira-kira pukul 5.30 petang sepasukan anggota dari Balai Polis Sungai Besi telah menyerbu sebuah premis di kawasan Desa Tun Razak, Cheras.

Menurut beliau, menerusi serbuan pertama pihaknya berjaya menahan dua lelaki tempatan berusia 58 dan 38 tahun.

“Hasil serbuan yang dijalankan kita berjaya merampas 2,993 karton rokok jenama Double Happiness berwarna putih dan emas berjumlah 29,930 kotak.

“Selepas itu, sekitar pukul 8, anggota kemudiannya dipandu arah oleh salah seorang suspek ke satu lagi premis di Jalan Klang Lama, Petaling Jaya dan merampas 807 karton rokok jenis M-One berwarna merah berjumlah 8,070 kotak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Antara rokok yang dirampas menerusi serbuan yang dijalakan oleh polis di dua lokasi berasingan di ibu negara dan Petaling Jaya. Foto PDRM

Mengulas lanjut, beliau berkata, jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM300,000.

Sementara reman suspek akan dipohon mengikut Seksyen 117 KTJ untuk melengkapkan siasatan, katanya.

“Kedua-dua suspek ditahan di lokap Balai Polis Salak Selatan dan reman terhadapnya akan dipohon hari ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut menyeru kepada orang ramai untuk menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan yang menyalahi undang-undang.

Tegasnya lagi, Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras juga tidak teragak- agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana orang yang melanggar undang- undang.

Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967. – MalaysiaGazette