KUALA LUMPUR – Tiada sebarang pergerakan setakat pagi ini di kediaman peribadi Datuk Seri Najib Razak di Pavilion Residences, Bukit Bintang di sini.

Terdahulu, hanya kelihatan dua buah motosikal polis pengiring memasuki parkir bawah tanah bersama sebuah lagi kenderaan pengiring kira-kira pukul 8.50 pagi tadi.

Namun sehingga kini kenderaan pengiring berkenaan masih belum meninggalkan kediaman bekas perdana menteri itu.

Tinjauan MalaysiaGazette sejak awal pagi tadi mendapati beberapa petugas media sudah mula menunggu di pekarangan kediaman berkenaan bagi merakam pergerakan Ahli Parlimen Pekan itu.

Hari ini Najib akan mengetahui nasibnya sama ada dibebaskan atau sabitan dan hukuman dikekalkan atas kesalahan penyelewengan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

Keputusan akan disampaikan pada pukul 9 pagi ini oleh panel tiga hakim diketuai Datuk Abdul Karim Abdul Rahman bersama Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera menerusi aplikasi Zoom.

Ia bakal menyaksikan sama ada hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta yang dikenakan terhadap Najib dikekalkan atau digugurkan. – MalaysiaGazette