Zubir Azmi. Foto Facebook TRW Kelantan FC.

KUALA LUMPUR – Pertahanan Kelantan FC, Zubir Azmi bersedia untuk terus memikul tugas selaku kapten pasukan jika diberi peluang apabila sah kekal beraksi untuk pasukan itu pada musim depan.

Zubir mengakui musim 2021 ibarat memberi sinar baharu kepada beliau apabila dipanggil beraksi pada pertengahan musim ini pada saat dia sudah memikirkan untuk bersara.

Namun, bekas pemain Sabah FC ini menyifatkan tahap keyakinannya semakin membara selepas diberi peluang untuk mempertaruhkan aksi di atas padang selain turut memikul tanggungjawab selaku kapten pasukan dalam baki saingan Liga Premier dan Piala Malaysia.

“Mula-mula saya dipanggil untuk beraksi dengan Kelantan, saya tidak yakin sangat dengan diri sendiri sebab tidak pasti sebenarnya adakah saya mampu untuk bangkit semula.

“Tetapi selepas diberi kepercayaan dalam perlawanan demi perlawanan, keyakinan itu datang dengan sendiri dan lama-kelamaan saya makin serasi dengan pasukan ini, dengan jurulatih dan sebenarnya Rezal (Rezal Zambery Yahya) banyak membantu.

“Bukan dekat saya sahaja, tetapi dekat pemain-pemain muda lain khususnya dan tahun ini apabila diberi tugas selaku kapten, mestilah semangat semakin meningkat.

“Insya-Allah kalau saya terus diberi kepercayaan untuk pikul tugas itu, saya akan buat yang terbaik dan tidak akan sia-siakan peluang yang terus diberi ini”, jelasnya.

Dalam masa sama, bekas pemain kebangsaan ini tidak menolak cabaran yang lebih sukar akan dipikul mereka kerana sasaran utama adalah untuk cuba membawa pasukan ke pentas Liga Super.

Musim ini, Kelantan menamatkan saingan Liga Premier di tangga keenam selain saingan Piala Malaysia berakhir di peringkat kumpulan.

Nyata, mereka perlu bekerja lebih keras dan perlu membentuk skuad yang terbaik bagi memantapkan lagi pasukan untuk bersaing merebut kedudukan terbaik liga.

“Tanggungjawab mestilah lebih sukar selepas ini sebab kalau boleh kita nak sasarkan untuk layak ke Liga Super pula.

“Jadi saya percaya pasukan sedang berusaha untuk membentuk skuad yang lebih mantap dan untuk saya sendiri, saya positif momentum akan lebih baik pada tahun depan untuk saya terus bantu Kelantan”, tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast