Abd Rahim Muda

KUANTAN – Sebanyak 59 premis judi yang berlesen di bawah Kementerian Kewangan dibenarkan beroperasi di Pahang pada tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Pahang, Datuk Abd. Rahim Muda berkata, sehingga kini tiada tindakan penguatkuasaan PBT diambil terhadap premis perjudian itu kerana tiada pelanggaran syarat sepanjang tempoh tersebut.

“Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) menguatkuasakan kesalahan Seksyen 26 Enakmen 11 tahun 2013 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 2013 ialah mana-mana orang (Islam) yang didapati berada di rumah perjudian melakukan satu kesalahan.

“Dan boleh, apabila disabitkan, denda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Rosli Jabar (Pas-Tanjung Lumpur) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang ke-14 di Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini.

Menurut Abd. Rahim, sebanyak 185 tangkapan orang Islam dilakukan pada 2019 yang mana 32 kes tangkapan telah dibuat di bawah Seksyen 26 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 2013 dan tiada tangkapan dibuat pada tahun ini. – MalaysiaGazette