Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim membantu penduduk dengan mengoreng ikan pada perasmian Program Dapur Bandaraya di Perumahan Awam Seri Tioman 1, Taman Melati, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 09 DESEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 3,000 keluarga dalam kategori miskin tegar di Wilayah Persekutuan akan dibantu untuk mereka mampu mencari sumber pendapatan dalam tempoh enam bulan lagi.

Menurut Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Shahidan Kassim, pihaknya akan mengadakan pelbagai program untuk membantu golongan berkenaan mencari pendapatan sendiri seterusnya tidak lagi akan bergantung dengan bantuan semata-mata.

“Dalam masa yang sama, kita sedang beri perhatian kepada 3,000 orang miskin tegar kerana pendapatan mereka di bawah garis miskin tegar. Di antaranya sumbangan daripada agensi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKN), Baitulmal dan juga Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP).

“Jadi kali ini, DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) akan terlibat sama untuk memastikan mereka ini melepasi garis ini dan dalam masa yang sama untuk tempoh enam bulan mereka ini mestilah dicari jalan untuk mendapatkan sumber pendapatan kalau kita terus memberi sumbangan tanpa usaha mereka, kurang manis,” katanya.

Terdahulu Shahidan merasmikan Program Dapur Bandaraya di Perumahan Awam Seri Tioman 1, hari ini.

Jelasnya, program anjuran DBKL dengan peruntukan RM650,000 berkenaan dijangka akan memanfaatkan 74,000 penerima.

Ujar Shahidan, Program Dapur Bandaraya  menyasarkan 1,560 pek makanan setiap hari.

“Ia selaras dengan pendekatan Kuala Lumpur dalam mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) iaitu SDG 2: Zero Hunger, selari Aspirasi Keluarga Malaysia,” katanya lagi.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast