Noh Omar. Foto FARHAN MAHAMAD, 14 OKTOBER 2021.

KUALA SELANGOR – Muafakat Nasional (MN) Selangor mengulangi pendirian agar Pas dan UMNO di negeri itu diberikan kuasa autonomi untuk meneruskan kerjasama politik bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar berkata, perkara itu telah dipersetujui Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi dalam mesyuarat MN pada bulan lalu.

“Selangor setakat ini kita masih sama dan bagaimana kita bincang dengan Pas Selangor, kita mesyuarat sudah ada mesyuarat bulan lepas.

“Pas dengan kita sama laa, kalau boleh biarlah kita autonomi, biar kita urus sendiri. Kita ada hubungan yang baik dan kita tengok MN di Selangor ini lebih berkesan.

“Sebab itu saya dengan Datuk Yunus dalam mesyuarat MN kalau boleh nak minta autonomi saya daripada UMNO dan Datuk Yunus dengan Pas. Selangor ini kita bagi keistimewaan sikit,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Sebelum ini, Ahmad Yunus menegaskan kerjasama Pas dengan UMNO melalui MN mesti dipertahan kerana ia memberi peluang baik untuk merampas semula Selangor.

Ahmad Yunus berkata, penilaian peluang itu berdasarkan keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dan ia tidak wajar dilepaskan.

Dalam pada itu, Noh berkata, UMNO Selangor perlu akur kepada keputusan pucuk pimpinan parti sekiranya kerjasama itu tidak perlu diteruskan pada masa hadapan.

“Tapi prinsip UMNO jelas kita akan bersama, kalau tak nak kawan bukan sebab UMNO.

“Kita faham, apa pun terpulang dan akhirnya kepada pucuk pimpinan parti,” katanya. – MalaysiaGazette