Akhyar Rashid.

KUALA LUMPUR – Pemain sayap kebangsaan, Akhyar Rashid yang dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan ketika menentang Kemboja pada aksi pembukaan Kumpulan B Piala AFF dilaporkan positif Covid-19.

Perkara itu disahkan oleh ketua jurulatih skuad negara, Tan Cheng Hoe bagi menjawab status ketiadaan Akhyar dalam skuad utama ketika pasukan menewaskan Laos 4-0 di Stadium Bishan, Singapura sebentar tadi.

Malah nama pemain Johor Darul Ta’zim itu juga tidak berada dalam senarai simpanan.

“Akhyar telah disahkan positif Covid-19 dan tidak dapat diturunkan pada aksi kali ini. Kami harap dia dapat pulih untuk membantu pasukan secepat mungkin,” kata Cheng Hoe pada sidang media selepas tamat perlawanan.

Akhyar menjaringkan dua gol ketika menentang Kemboja pada aksi pembukaan Kumpulan B Piala AFF, Isnin lalu.

Cheng Hoe dilihat melakukan rombakan di bahagian serangan apabila meletakkan Luqman Hakim Shamsudin bertindak selaku penggempur utama Harimau Malaya bersama Arif Aiman Hanapi dan Safawi Rasid.

Sebelum ini, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Mohd Saifuddin Abu Bakar mengesahkan pihaknya sudah menghantar permohonan rasmi kepada Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) untuk menukar pemain di posisi penjaga gol dalam saingan Piala Suzuki AFF 2020 di Singapura.

Ini kerana penjaga gol Selangor, Khairul Azhan Khalid dan penyerang Terengganu FC, Faisal Abdul Halim disahkan positif Covid-19 selepas keputusan ujian saringan PCR dilakukan di Lapangan Terbang Antarabangsa, Changi pada Jumaat lalu. – MalaysiaGazette