Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein .Foto SYAFIQ AMBAK, 18 OKTOBER 2021.

KUALA LUMPUR – Perancangan dan hala tuju Kementerian Pertahanan (Mindef) bagi tahun 2022 akan bersandarkan dua fokus utama, kata Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Pertama, setiap dasar serta polisi di Mindef dan Angatan Tentera Malaysia (ATM) akan diselaraskan dalam memuktamadkan
sesuatu inisiatif.

Dasar-dasar ini termasuklah Kertas Putih Pertahanan, Strategi Ketenteraaan Negara, Dimensi Keempat Angkatan Tentera Malaysia (4DMAF),

Pelan Strategik Mindef  2021-2025 serta tiga dokumen sokongan di bawahnya iaitu Dasar Industri Pertahanan dan Keselamatan Negara (DIPKN), Rangka Tindakan Kapasiti Pertahanan (RTKP) dan Pelan Pelaburan Pertahanan Negara (3PN).

Kedua, perancangan dan hala tuju Mindef bagi tahun 2022 akan dinamakan sebagai Pelan Tindakan 2022 atau PT22 yang mengandungi lapan teras utama iaitu kesiagaan dan keupayaan, kompetensi pertahanan, kebajikan, kerjasama awam-tentera, Industri Pertahanan Nasional, kerjasama pertahanan antarabangsa, pemerkasaan veteran ATM dan kesiagaan terhadap krisis berskala besar

Menteri Pertahanan itu berkata, Teras 8 tersebut merupakan teras baharu yang diwujudkan bertujuan meningkatkan penglibatan ATM dalam membantu usaha negara menangani krisis berskala besar seperti banjir dan ancaman penyakit.

”Teras ini akan berkuatkuasa serta-merta mengambil kira musim tengkujuh yang biasa berlaku di penghujung tahun. Seperti kenyataan Panglima Angkatan Tentera baru-baru ini, buat masa ini semua formasi dan unit dilapangan dalam keadaan siap sedia dan akan diaktifkan bila-bila masa mengikut keadaan semasa,” katanya dalam sidang media di sini.

Di bawah lapan teras ini, Kementerian Pertahanan dan ATM merancang untuk melaksanakan pelbagai inisiatif termasuklah:
i. Melaksanakan pembinaan 5 poliklinik baharu menjelang tahun 2024 bagi
menambah baik perkhidmatan kesihatan untuk anggota dan veteran ATM.
ii. Memperkasakan lagi inisiatif Trilateral Cooperative Arrangement (TCA) yang
dilaksanakan bersama Indonesia dan Filipina sejak tahun 2017 demi
memperkukuh kawalan keselamatan di Laut Sulu dan Sulawesi.
iii. Menambah Specialist Outreach Clinic di kawasan pendalaman bagi
membolehkan lebih ramai rakyat mendapatkan rawatan kesihatan yang terbaik.
iv. Menyerahkan lebih banyak unit Rumah Keluarga Malaysia Angkatan Tentera (RKMAT) kepada anggota ATM yang terpilih di seluruh negara.
v. Kaedah sewaan seperti yang dilaksanakan Tentera Udara Diraja Malaysia untuk memanfaatkan Helikopter AW139 akan turut diperluaskan
kepada Tentera Darat Malaysia dan Tentera Laut Diraja Malaysia.
vi. Berusaha memastikan kadar dividen Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) memuaskan. Ini agenda peribadi saya untuk membela kebajikan anggota ATM terutama di era pandemik yang amat mencabar ini.

”Secara keseluruhannya, Kementerian Pertahanan dan ATM telah mempunyai perancangan yang jelas untuk bergerak ke hadapan di tahun 2022 selepas berjaya mencapai KPI 100 hari pertama Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) peringkat kementerian. Insya-Allah,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast