Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pelaksanaan moratorium kelulusan baharu penubuhan ladang hutan dalam Hutan Simpanan Kekal (HSK) di Semenanjung Malaysia selama 15 tahun yang diputuskan Mesyuarat Majlis Tanah Negara Ke-79 ( MTN Ke-79) awal bulan ini tidak memberikan kesan terhadap bekalan bahan mentah dari sumber tempatan bagi keperluan industri pemprosesan kayu.

Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) berkata, ini kerana keputusan moratorium tersebut hanya melibatkan baki kelulusan yang belum diberikan kepada mana-mana syarikat atau pengusaha ladang oleh kerajaan negeri.

Sementara itu, kelulusan pembangunan ladang hutan yang telah dibuat oleh kerajaan negeri kepada mana-mana syarikat atau pengusaha ladang yang sedia ada tidak terlibat dengan pelaksanaan moratorium ini.

Berdasarkan rekod, Catuan Tebangan Tahunan (CTT) daripada hutan pengeluaran sedia ada dalam HSK dan kawasan-kawasan pembangunan dalam tanah milik dan tanah kerajaan dijangka mampu mengeluarkan secara purata 4.1 juta meter padu bekalan
bahan mentah setahun.

Ini belum mengambil kira kawasan ladang hutan yang telah ditanam seluas 113,039.50 hektar dalam HSK yang dianggarkan mampu mengeluarkan bekalan bahan mentah sebanyak 1.5 juta meter padu setahun.

Menurutnya, purata keperluan kayu balak di Semenanjung Malaysia adalah sebanyak 4.2 juta meter padu setahun.

KeTSA akan mengadakan perundingan secara terperinci dengan kerajaan-kerajaan negeri bagi mencapai kata sepakat dalam menjayakan keputusan yang telah dipersetujui dalam MTN Ke-79. – MalaysiaGazette