Kluster COvid-19
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Satu kluster industri dinamakan Kluster Dah Meha Industri dikesan di sebuah kilang di Mukim Padang Meha, Padang Serai dekat Kulim, Kedah.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kedah (JKNK), Dr. Othman Warijo berkata, berikutan itu, seramai 194 individu telah disaring semalam dan 133 daripadanya positif Covid-19.

Katanya, ia melibatkan seramai 97 pekerja dan 36 kontak rapat keluarga.

“Taburan kes positif ini melibatkan empat daerah iaitu Kulim, Baling, Kuala Muda dan Sik. Kluster ini dikesan berikutan saringan kendiri yang dijalankan pihak pengurusan kilang berkenaan.

“Semua kes adalah bergejala ringan dan telah lengkap divaksinasi. Mereka kini diarah menjalani kuarantin di rumah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr. Othman Warijo

Kata Dr. Othman, siasatan awal Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kulim mengesyaki penularan jangkitan kemungkinan berpunca daripada kegagalan mematuhi SOP.

Jelas beliau, kegagalan itu kemungkinan berlaku di tempat kerja, contohnya di surau dan aktiviti rekreasi melibatkan kumpulan pekerja seperti kembara bermotosikal dan futsal.

“Bagaimanapun, kita sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca sebenar kluster itu wujud.

“JKNK mendapati keadaan terkawal dan terus mengawasi situasi dari dekat dengan pihak pengurusan kilang telah diarah mengemaskini pelaksanaan SOP di lokasi berisiko tinggi dalam kilang itu,” katanya.

Beliau menyeru orang ramai untuk terus mengamalkan norma baharu dan mematuhi SOP yang telah digariskan kerajaan dalam kehidupan seharian.

Antaranya, memakai pelitup muka dengan sempurna ditempat kerja dan tempat awam, mematuhi penjarakan fizikal sepanjang masa, kerap mencucui tangan dengan air dan sabun atau pensanitasi.

Mereka juga diminta supaya mengelak daripada bersentuhan dan bersembang dalam jarak dekat di samping menghindari kawasan sesak serta ruang sempit. – MalaysiaGazette