Ketua Polis Pahang, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf (dua dari kiri) melihat sebahagian barang rampasan pengedar dadah di Kuantan, Pahang hari ini.

KUANTAN – Polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah jenis heroin dan syabu bernilai lebih RM1.04 juta termasuk keseluruhan rampasan dan sitaan harta berkaitan dengannya.

Ketua Polis Pahang, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf berkata, nilai tersebut melibatkan nilai rampasan dadah berjumlah RM392,000, nilai sitaan harta  berjumlah RM648,432 dalam  dua serbuan berasingan pada 6 dan 7 Disember lalu.

“Pada 6 Disember lalu, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pahang telah berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah dan berjaya menangkap dua lelaki berumur lingkungan 40 hingga 43 tahun .

“Dalam serbuan pertama  antara jam 11 hingga  11.30 malam, polis  telah menahan seorang lelaki Melayu yang berada di dalam sebuah  motokar jenis Ford Raptor berwarna hitam yang  diparkir di tepi jalan besar arah masuk Plaza Tol Kuantan,” katanya  dalam sidang media hari ini.

Hasil siasatan lanjut dengan dibantu suspek pertama membawa polis ke sebuah rumah di Kotasas Presint 3 dan berjaya merampas heroin seberat (4,180 gram), syabu seberat (1,314 gram), 4200 pil yaba seberat (415.80 gram) dan 1700 biiji pil erimin 5 seberat (1100 gram).

Manakala dalam serbuan kedua pada 7 Disember lalu, polis juga telah membuat serbuan di sebuah rumah di Felda Panching Utara dekat sini dan menahan menahan suspek kedua.

Tambah Ramli, dalam serbuan kedua, pemeriksaan di sebuah bilik telah menjumpai wang tunai berjumlah RM180,000 dipercayai hasil dari pengedaran dadah.

“Hasil ujian saringan awal ujian urin terhadap kedua-dua suspek mendapati negatif namun mereka mempunyai lapan rekod kesalahan lampau berkaitan dadah,” ujarnya.

Kedua-dua suspek di reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah selama tujuh hari bermula 7 Disember lalu hingga 13 Disember depan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan. – MalaysiaGazette