Danish Iskandar Burhanuddin. Foto: Instagram

KUALA LUMPUR – Pelakon remaja, Danish Iskandar Burhanuddin yang tular setelah melakonkan watak songsang dalam drama bersiri Stay Away From Me mengakui dirinya dimanipulasi pihak produksi.

Menurut Danish, 17, dia tidak sedar lakonannya itu menjurus ke arah songsang kerana diyakinkan oleh krew produksi bahawa wataknya mengetengahkan nilai keakraban.

“Memang tak dapat rasa (kejanggalan), sebab semasa mereka suruh buat scene (babak) tu, kami (rakan pelakon lain) bertanyalah kenapa ada scene (songsang) tu, tapi mereka manipulasi dan meyakinkan kami yang scene tu untuk tunjuk keakraban persahabatan,” katanya pada sidang media di Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak, Menara Dato’ Onn, di sini, hari ini.

Danish Iskandar Burhanuddin ketika bercakap pada sidang media di Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak, Menara Dato’ Onn, hari ini.

Tambah Danish, dia berasa tertindas apabila watak yang sepatutnya dilakonkan adalah berbeza dengan skrip asal.

“Kita selidik balik skrip, betul ke ada scene macam ni (songsang), kita dapati memang takde langsung, mereka tambah scene masa tengah shoot, sebab itulah bila director (pengarah) suruh buat macam tu, kita terus tanya kenapa scene ni harus dilakukan,” katanya lagi.

Selain itu, Danish turut memohon maaf dan menyedari kesilapan itu adalah berpunca daripada kenaifan dirinya yang perlu diambil sebagai pengajaran.

“Saya ingin memohon maaf atas kekhilafan dan isu yang tercetus. Kami tidak menyokong sama sekali perbuatan (homoseksual) yang ditularkan.

“Ini pun atas kenaifan saya sendiri sebagai orang baru dalam industri hiburan, itulah kesilapan saya dan pengajaran buat artis-artis baru kat luar sana. Next time (selepas ini) saya akan lebih aware (berwaspada), saya akan selidik dulu sesuatu produksi supaya tiada lagi kes macam ini berlaku lagi,” katanya lagi.

Hadir sama adalah dua pelakon drama itu, Rees Iskandar dan Hardy Saiful.

Sementara itu, peguam Datuk Wan Azmir Wan Majid memberitahu anak guamnya telah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi jam 10 pagi hari ini.

Tambah Azmir, pihaknya juga bercadang mengambil tindakan mahkamah terhadap produksi terbabit berkaitan isu moraliti pengambaran tersebut.

Terdahulu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah merujuk isu ini kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi memohon pihak berkuasa  mempertimbangkan supaya siasatan lanjut dapat dijalankan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast