Presiden MIC, Tan Sri S.A Vigneswaran mengalungkan bunga malai kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri ketika hadir ke Perhimpunan Agung MIC yang ke-75 di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 12 DISEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – MIC menggesa pucuk pimpinan Barisan Nasional (BN) memberi ruang kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri untuk menentukan tarikh paling sesuai untuk mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

Presidennya, Tan Sri SA Vigneswaran berkata, MIC bersama dua parti komponen BN, iaitu MCA dan Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS), telah bersetuju untuk memberi mandat itu kepada Ismail Sabri.

Jelasnya, tanggungjawab mengadakan PRU terletak kepada kebijaksanaan Perdana Menteri dan hasrat itu juga telah di sampaikan kepada Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini.

“Persoalan bila PRU harus diadakan ini, saya dengan rendah diri menggesa pucuk pimpinan BN untuk beri ruang yang secukupnya kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri kita untuk tentukan masa paling sesuai adakan PRU-15,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar di hadapan lebih 2,500 perwakilan dan pemerhati serta jemputan pada Perhimpuan Agung MIC yang ke-75 di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Vigneswaran yang juga Duta Khas Asia Selatan turut berkongsi perasaannya tentang hubungan MIC dengan BN yang telah sekian lama terbina.

“Kita menang bersama, kita kalah bersama. Dan kita masih bersama – UMNO, MCA dan MIC – rakan sekutu untuk memajukan Malaysia demi memenuhi asipirasi rakyat kita.

“Dahulu ramai yang meramalkan Malaysia tidak mungkin maju kerana penduduknya yang berbilang kaum dan agama bak kata Inggeris, a ticking timebomb waiting to explode.

“Tetapi, apabila rakyat mempercayai dan mempunyai keyakinan yang tinggi dengan kerajaan, ia membolehkan pelbagai perancangan dilaksanakan dengan rapi dan baik. Inilah hasil kesatuan, kerjasama dan perpaduan itu.

“Konsep perkongsian kuasa BN yang telah diuji dan terbukti keberkesanannya selama lebih 60 tahun, kita haruslah kekal bahkan jadi lebih kukuh serta mantap,” ujarnya. -MalaysiaGazette