Keadaan pemandu lori kontena yang tersepit dalam kejadian kemalangan membabitkan dua kenderaan berhampiran Ulu Bernam, dekat sini awal pagi tadi. Foto ihsan JBPM Selangor

KUALA LUMPUR – Pemandu dan kelindan sebuah lori kontena terpaksa menahan kesakitan kira-kira setengah jam akibat tersepit selepas kenderaan yang mereka naiki merempuh belakang sebuah treler di Kilometer 397.2 Lebuh Raya Utara Selatan berhampiran Ulu Bernam, dekat sini, awal pagi tadi.

Pusat Gerakan Operasi Bomba Selangor dalam satu kenyataan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 3.24 pagi sebelum dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu dan BBP Tanjung Malim dikerah ke lokasi kejadian.

“Kejadian kemalangan melibatkan sebuah lori kontena dinaiki dua lelaki yang melanggar bahagian belakang treler di laluan lorong kiri menghala arah selatan sehingga menyebabkan kedua-dua mangsa tersepit di bahagian pemandu.

“Masing-masing pemandu berusia 27 tahun dan kelindan yang berusia 37 tahun itu kemudiannya berjaya dikeluarkan oleh anggota menggunakan peralatan khas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, kedua-dua mangsa yang mengalami kecederaan parah pada bahagian dada dan kaki dibawa menggunakan ambulans ke Hospital Slim River, Perak bagi rawatan lanjut. – MalaysiaGazette