KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib  Razak tidak dibenarkan masuk bangunan Mahkamah Tinggi di sini hari ini untuk menyambung prosiding 1Malaysia Developement Berhad (1MDB).

Ia susulan status aplikasi MySejahtera Ahli Parlimen Pekan itu berwarna kuning.

Peguam mewakili Najib, Datuk Hariharan Tara Singh memaklumkan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah meminta Najib meninggalkan bangunan mahkamah sejurus menunjukkan aplikasi MySejahteranya.

Jelas beliau, Najib dan juga Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mengetuai pasukan pembelaan menunjukkan kontak dan tidak dibenarkan masuk walaupun pada awalnya warna telah bertukar hijau.

“Tetapi apabila mereka menjawab beberapa soalan am di aplikasi MySejahtera itu, warna kembali menunjukkan kuning dan kemudian diminta balik.

“Kedua-dua mereka masih menunggu di luar sementara menunggu Yang Arif,” katanya hari ini.

Collin kemudian menetapkan kedua-dua (Najib, Muhammad Shafee) perlu menjalani ujian kendiri Covid-19 sebelum maklumkan keputusan kepada Kementerian Kesihatan bagi membolehkan status MySejahtera kembali seperti biasa.

Najib ketika ini sedang berdepan dengan 25 tuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram berhubung dana disyaki milik 1MDB berjumlah RM2.28 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun AmBank beliau antara Februari 2011 dan Disember 2014.

Terdahulu, isteri beliau, Datin Seri Rosmah juga tidak di benarkan masuk ke dalam bangunan mahkamah bagi menyambung prosiding pembelaan kes rasuah solar hibrid juga kerana status MySejahtera berwarna jingga.

Walaupun pendakwaan telah mencadangkan prosiding secara hibrid, hakim telah menetapkan tarikh lain bagi menyambung perbicaraan di mahkamah terbuka atau sebaliknya kelak. -MalaysiaGazette