Mohideen.
Mohideen.

GEORGE TOWN –  Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Majlis Daerah Kuala Muda (MDKM) mengambil tindakan segera mengatasi masalah pencemaran sampah di Pulau Sayak di Kuala Muda, Kedah.

Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader berkata, tinjauan pihaknya mendapati keadaan itu bukan sahaja melibatkan tempat perkelahan di Kampung Hujung Pulau Sayak malah sehingga tepi jalan utama di kampung berkenaan.

Jelas beliau, bahan buangan terutama plastik berselerak di tepi jalan dan terdampar di kawasan pantai kampung berkenaan bukan sahaja mencemarkan laut malah menjejaskan aktiviti nelayan pantai.

“Selain tindakan mereka yang tidak bertanggungjawab membuang bahan buangan sesuka hati, ketiadaan kemudahan tong sampah antara punca-punca berlakunya masalah tersebut.

“Kita mahu tindakan segera dibuat kerana bimbang dengan kejadian tersebut boleh mencemarkan alam sekitar dengan lebih serius pada masa akan datang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Mohideen, MDKM juga perlu melakukan pemantauan yang berterusan agar  tindakan tegas dapat diambil ke atas mereka yang  mencemarkan kawasan itu.

“Kita juga meminta MDKM meletakkan papan tanda amaran di lokasi kejadian bagi mencegah perbuatan tidak bertanggungjawab dalam kalangan orang ramai berterusan,” ujar beliau. – MalaysiaGazette