Home Nasional Polis siasat video pergaduhan di kondominium Setapak

Polis siasat video pergaduhan di kondominium Setapak

KUALA LUMPUR – Polis telah membuka kertas siasatan membabitkan satu kes pergaduhan yang dikatakan berlaku di sebuah unit kondominium di Setapak di sini baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, pihaknya mengesan penularan satu video berdurasi dua minit 10 saat dimuat naik oleh pemilik akaun Facebook bernama Anas Najib membabitkan insiden itu pada 10 Disember lalu.

“Video berkenaan memaparkan insiden pergaduhan membabitkan tiga lelaki tempatan di dalam sebuah kondominum.

“Sehubungan itu, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju memulakan siasatan berhubung video yang tular itu mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan,” kata beliau dalam kenyataan hari ini.

Tambah Ashari, siasatan lanjut kes berkenaan sedang dijalankan oleh polis.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes itu menghubungi IPD Wangsa Maju di talian 03-92899222 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana- mana balai polis berhampiran.

Terdahulu, hasil penelitian terhadap kandungan video tular di media sosial menunjukkan dua lelaki memukul dan menendang seorang lelaki beberapa kali dan cuba dihalang oleh dua lagi. -MalaysiaGazette