IPOH – Kerajaan Perak akan mewujudkan Program Teduhan Kasih Anak-Anak Perak dengan peruntukan sebanyak RM1 juta untuk menampung sara hidup dan pendidikan anak-anak negeri itu sehingga berusia 21 tahun.
Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, selain itu, kerajaan negeri juga berhasrat untuk memberikan bantuan bulanan sebanyak RM300 kepada penjaga anak yatim dan yatim piatu ini dengan menggunakan skim saham FELCRA.
Beliau memberitahu, bantuan itu antaranya yang telah diumumkan dalam Belanjawan Negeri 2022.
“Sementara itu, Bantuan Khas Pengurusan Kematian Covid-19 Agensi Pengurusan Bencana (NADMA) disediakan kepada waris si mati yang meninggal dunia akibat Covid-19 dan ia merupakan bantuan one-off sehingga kadar maksima RM5,000.
“Di samping itu juga, berdasarkan rekod Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) sehingga November 2021 terdapat tujuh permohonan yang diterima terus daripada pemohon yang melibatkan kematian ahli keluarga disebabkan Covid-19 dan telah dipertimbangkan bantuan kewangan serta-merta dan bantuan kewangan bulanan,” katanya ketika sesi soalan pada Dewan Undangan Negeri (DUN) di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Mohd. Tarmizi Idris (BN-Kenering) yang ingin mengetahui usaha-usaha yang diambil oleh kerajaan negeri terhadap keluarga mangsa yang terkesan wabak Covid-19 yang melibatkan kematian kepada ketua isi rumah (KIR), berapakah jumlah keluarga yang terlibat dan apakah bantuan yang telah disalurkan.
Saarani menambah, JKM juga telah menerima data daripada Jabatan Pendidikan Negeri Perak yang melibatkan 250 pelajar sekolah yang kematian ibu atau bapa disebabkan Covid-19.
“Senarai ini dalam tindakan siasatan Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah bagi penentuan kelayakan bantuan berdasarkan syarat-syarat yang berkuatkuasa,” katanya.
Sementeri itu, Saarani memberitahu JKM melalui Bahagian Psikologi dan Kaunseling telah merangka pelbagai inisiatif dalam memberikan bantuan terutama dari aspek psikologi dan kaunseling secara bersemuka dan secara atas talian kepada keluarga yang terkesan dengan kematian ahli keluarga akibat Covid-19 sekiranya terdapat rujukan dan laporan daripada mana-mana pihak.
Menurut beliau, kit aktiviti psikologi juga turut diberikan kepada mangsa mengikut kesesuaian bagi membantu mereka menghadapi masa-masa sukar dan dalam trauma.
“Keluarga mangsa juga turut disantuni dari semasa ke semasa bagi memastikan aspek psikologi mereka terjaga dan dalam keadaan terkawal serta bagi mendapatkan maklumat terkini status kesihatan mental mereka sama ada secara bersemuka ataupun secara panggilan telefon.
“Pada tahun 2021, terdapat tiga buah keluarga yang terkesan akibat kematian ketua isi rumah (KIR) yang telah disantuni oleh pegawai-pegawai psikologi,” katanya. – MalaysiaGazette