Sebuah trak bahan api meletup di kawasan kejiranan pada waktu malam, di Cap Haitien, Haiti 14 Disember 2021 - Foto Reuters.

CAP-HAITIEN – Sekurang-kurangnya 60 mangsa terkorban dalam kejadian letupan trak bahan api yang berlaku di bandar Cap-Haitien dan kerja mencari dan menyelamat masih dijalankan sehingga kini.

Terdapat laporan mengatakan kejadian berlaku ketika penduduk berhampiran cuba mengambil minyak dari kenderaan tersebut sebelum ia meletup.

Menurut laporan Reuters, Beratus-ratus orang di tempat kejadian letupan pada malam Isnin lalu berkumpul mencari ahli keluarga mereka di tengah-tengah kawasan rumah yang musnah.

Selain itu terdapat juga orang ramai yang cuba membongkar trak yang hangus untuk dijadikan besi buruk.

Justorme Louis Fils, 64, yang tinggal berhampiran kawasan kejadian letupan berkata, trak itu terbalik kerana cuba mengelak daripada melanggar sebuah motosikal.

Akhbar Haiti Le Nouvelliste pula memetik kenyataan Patrick Almonor dari Suruhanjaya Perbandaran Cap-Haitien berkata, penduduk berpusu-pusu ke trak apabila letupan berlaku.

Kekurangan bahan api yang teruk dalam beberapa bulan kebelakangan ini menyebabkan ramai rakyat Haiti terdesak untuk mendapatkan bekalan petrol.

Letupan itu merosakkan rumah dan kedai berhampiran serta memusnahkan motosikal dan kereta.

Perdana Menteri, Ariel Henry melawat Hospital Universiti Justinien di mana kebanyakan mangsa menerima rawatan.

‘Kami sedih kerana ramai orang cedera dan ramai orang mati,’ kata Henry pada sidang akhbar.

Pegawai kementerian kesihatan, Laure Adrien berkata, empat orang telah meninggal dunia di hospital akibat kecederaan mereka dan 15 orang telah dipindahkan.

Angka kematian penuh belum diketahui, katanya.

Gabungan kumpulan samseng menyekat terminal bahan api selama hampir sebulan bermula pada bulan Oktober lalu dikatakan punca berlaku masalah kekurangan petrol dan diesel mengakibatkan banyak perniagaan ditutup.

Walaupun kumpulan samseng telah menarik balik sekatan pada bulan lepas tetapi ramai orang Haiti berkata mereka masih bergelut untuk mencari minyak. -Reuters