ACP Noor Dellhan Yahaya

KUALA LUMPUR – Polis menyambung reman ke atas pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan kes rompakan membabitkan kerugian wang berjumlah RM700,000.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, suspek dibenarkan reman bermula hari ini sehingga 20 Disember ini.

Pegawai itu ditahan berkaitan rompakan di kediaman pemilik agensi pelancongan di Ampang pada 10 Disember lalu.

“Siasatan sedang giat dijalankan polis dan perkembangan terkini siasatan kes ini akan dimaklumkan kelak,” katanya ketika dihubungi hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: 

Pada 13 Disember lalu, Noor Dellhan mengesahkan mengenai tangkapan seorang pegawai berkenaan bagi membantu siasatan kerugian membabitkan wang berjumlah RM700,000.

Katanya, pegawai agensi penguatkuasa itu ditahan di pekarangan pejabatnya pada Ahad lalu manakala seorang lagi orang awam telah ditahan pada 11 Disember lalu.

Kedua-dua suspek berusia lingkungan 30-an direman tiga hari sehingga hari ini di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah untuk membantu siasatan polis.

Polis juga telah memanggil seramai 12 individu untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan kes tersebut.

Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan.-MalaysiaGazette