ACP Noor Dellhan Yahaya

KUALA LUMPUR – Polis hari ini mengesahkan tangkapan seorang pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan kerugian membabitkan wang berjumlah RM700,000.

Difahamkan kes tersebut ada kaitan dengan rompakan berkumpulan di kediaman pemilik agensi pelancongan di Ampang pada 10 Disember lalu.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, tangkapan itu dilakukan pada Jumaat lalu.

“Saya sahkan satu tangkapan telah dibuat oleh Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Dang Wangi ke atas seorang pegawai agensi penguatkuasa bagi membantu siasatan ke atas satu kes jenayah yang melibatkan kerugian sebanyak RM700,000.

“Setakat ini dua tangkapan termasuk pegawai berkenaan yang ditahan di pekarangan pejabatnya di ibu negara pada Ahad.

“Manakala seorang lagi suspek adalah orang biasa telah ditahan pada Sabtu 11 Disember lalu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tambahnya, kedua-dua yang berusia dalam lingkungan 30-an ini direman tiga dan empat hari di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah untuk membantu siasatan polis.

Dalam perkembangan sama, tambah beliau, polis juga telah memanggil seramai 12 individu untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan kes tersebut.

Kes sedang di siasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan,” katanya.

Semalam SPRM mengesahkan seorang pegawainya ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung satu kes rompakan secara berkumpulan di ibu negara, Jumaat lalu.

SPRM dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Ahad berkata, pihaknya telah memberi kerjasama penuh kepada pihak polis untuk mengesan pegawai terbabit dan menyerahkannya kepada agensi penguat kuasa itu, petang semalam.

SPRM menegaskan agensi itu tidak berkompromi atau melindungi mana-mana pegawai yang terlibat dengan sebarang perlakuan jenayah.

“Tindakan tegas termasuk pertuduhan di mahkamah dan tindakan tatatertib dengan hukuman buang kerja akan dikenakan jika terlibat,” kata kenyataan tersebut. -MalaysiaGazette