SHAH ALAM – Susulan pendedahan MalaysiaGazette mengenai pencerobohan Hutan Bukit Cherakah di Taman Bukit Bayu U10 Isnin lalu, satu papan notis telah dinaikkan Pejabat Tanah dan Daerah Petaling Jaya di atas tanah yang dijadikan kebun durian haram, awal hari ini.
Perkara itu disahkan oleh Persatuan Pemilik dan Penduduk Taman Bukit Bayu U10 yang menyedari kehadiran lima penguatkuasa agensi kerajaan negeri itu yang membawa papan notis berwarna merah itu menaiki kenderaan pacuan empat roda, kira-kira jam 10.30 pagi, hari ini.
“Notis itu tertulis ‘Tanah Kerajaan, Penceroboh Akan Didenda Tidak Melebihi RM500,000 atau Penjara Tidak Melebihi 5 Tahun di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara 1965’.
“Papan tanda berwarna itu didirikan di atas tanah hutan simpan yang diceroboh sejak tujuh bulan lalu,” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.
Menurut persatuan itu, kehadiran penguatkuasa PTG Petaling hari ini dipercayai selepas pihaknya membawa perkara itu kepada pengetahuan media menerusi laporan MalaysiaGazette pada 13 Disember lalu.
Isnin lalu, laporan MalaysiaGazette mendedahkan Tanah Hutan Simpan Bukit Cherakah seluas kira-kira setengah ekar yang bersebelahan Taman Bukit Bayu U10 bukan sahaja diceroboh, bahkan pokok hutan juga ditebang sebelum dijadikan kebun durian haram.
Tinjauan MalaysiaGazette awal bulan ini juga mendapati, tanah hutan terbabit sudah dibersihkan dan kelihatan beberapa pekerja dipercayai warga asing sedang melakukan kerja-kerja penyiraman dipercayai tapak semaian pokok durian.
Terdapat kira-kira enam batas tanah dipenuhi dengan anak benih pokok diletakkan di dalam beg hitam polybag secara tersusun sebelum dipindah dan ditanam di dalam tanah kebun haram terbabit.
Dalam pada itu, Isnin lalu MalaysiaGazette cuba mendapatkan maklum balas daripada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, namun masih belum mendapat sebarang jawapan.
Sebelum ini, persatuan itu juga pernah mengajukan perkara sama kepada pelbagai agensi kerajaan negeri sejak 3 Disember lalu, namun jawapan yang diterima sangat mengecewakan.
Antaranya Jabatan Perhutanan Negeri Selangor, Pejabat Tanah dan Galian Petaling dan Exco Kerajaan Negeri Selangor yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar & Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli, Hee Loy Sian.
“Kawasan ini (tanah Hutan Bukit Cherakah) bukan lagi di bawah Jabatan Perhutanan Negeri Selangor, kena buat aduan kepada Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) atau PTG Petaling,” katanya Loy Sian menerusi WhatsApp kepada persatuan itu.
Selain pencerobohan hutan simpan, persatuan itu juga turut mengajukan isu pencerobohan hasil mineral yang dilakukan salah seorang penduduk Taman Bukit Bayu U10 kepada Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) pada 14 Disember lalu.
“Pihak kami hanya dimaklumkan LUAS maklum dengan aduan tersebut dan isu itu dipanjangkan kepada pegawai terbabit untuk tindakan lanjut,” katanya lagi. – MalaysiaGazette