Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad bersama Exco Komunikasi, Multimedia dan Sukan, Khairul Shahril Mohamed (tengah) menyampaikan insentif mock cek sebanyak RM25,000 kepada Cheah Liek Hou yang telah memenangi Pingat Emas Temasya Sukan Paralimpik 2020 dalam sukan badminton di Bangunan Perak Darul Ridzuan. Foto AMIRUL SHAUFIQ 15 DISEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Kerajaan Perak menghargai jasa atlet yang telah mengharumkan nama negeri itu pada peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, inisiatif yang diberikan merupakan tanda prihatin kerajaan negeri dalam menyokong aktiviti sukan massa dan para di negara ini.

“Pencapaian yang diraih adalah hasil prinsip kebersamaan semua pihak khususnya atlet dan jurulatih masing-masing.

“Ketika seluruh dunia berperang melawan pandemik Covid-19, mereka berlatih dalam keadaan serba getir demi mengangkat nama negeri dan negara.

“Kita perlu melihat kesungguhan ini pada diri setiap atlet termasuk mereka yang tewas dan pulang tanpa pingat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis penghargaan kepada atlet Perak di pejabatnya di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia Perak Khairul Shahril Mohamed.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad menyampaikan insentif mock cek sebanyak RM100,000 kepada Pasukan Hoki Lelaki Negeri Perak yang menjuarai Piala Tun Razak Bangunan Perak Darul Ridzuan. Foto AMIRUL SHAUFIQ 15 DISEMBER 2021.

Saarani menyampaikan insentif sebanyak RM100,000 kepada pasukan hoki lelaki Perak yang menjuarai Piala Tun Razak baru-baru ini.

Beliau turut menyampaikan insentif kemenangan atlet para badminton, Cheah Liek Hou yang memenangi pingat emas di Sukan Paralimpik Tokyo 2020 pada September lalu.

Liek Hou yang merupakan atlet Orang Kelainan Upaya (OKU) mula mewakili Perak dalam sukan badminton di Kejohanan Paralimpiad 2016 yang kini dikenali Para SUKMA.

Saarani juga menyampaikan bantuan kewangan kepada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gunung Rapat sebanyak RM3,000 atas kejayaan melahirkan atlet berbakat seperti Muhammad Azeem Mohd. Fahmi yang muncul pelari remaja terpantas dunia dalam acara 200 meter pada 2019.

Sekolah sukan itu juga berjaya melahirkan juara muaythai remaja dunia, Nur Amisha Azril Rizal yang memenangi kejohanan Muay Thai Remaja Dunia di Thailand pada 2016. – MalaysiaGazette