Datuk Seri Dr Sim Kui Hian

KUCHING – Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS), yang juga penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Kawah, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian berdepan laluan berliku untuk mempertahan kawasan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 apabila terpaksa menentang bintang sedang meningkat naik DAP iaitu Dr Kelvin Yii Lee Wuen.

Penganalisis politik Universiti Putra Malaysia Profesor Datuk Dr Jayum Jawan kedua-duanya merupakan pemimpin masyarakat utama Cina.

“Namun dalam mana-mana pertandingan, hanya seorang sahaja akan berjaya – sama ada Dr Sim akan menang atau Kelvin.

“Selaku penyandang kerusi Batu Kawah dan juga bekas menteri di dalam Kabinet negeri, Dr Sim mempunyai kelebihan jika dibandingkan dengan pencabarnya,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Selain calon DAP, Dr Sim yang juga Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) bakal ditentang Fong Pau Teck daripada Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (Aspirasi) dan Chai Kueh Khun daripada Parti Bumi Kenyalang (PBK).

Dr Kelvin juga merupakan Ahli Parlimen Bandar Kuching.

Jayum berkata meskipun memiliki kelebihan, masalah dalaman SUPP turut memberi cabaran kepada parti itu dalam kempen pada PRN kali ini terutama apabila ia ‘kehilangan’ dua kerusi tradisi Mambong dan Dudong kepada rakannya dalam GPS.

Kerusi Dudong akan ditandingi oleh Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP) Datuk Seri Tiong King Sing manakala Mambong ditandingi Datuk Dr Jerip Susil.

“Selain itu, beliau berdepan isu pemilihan calon bagi kerusi Padungan di mana ahli SUPP cawangan tersebut telah menutup jentera PRN mereka kerana tidak berpuas hati dengan pemilihan calon di sana,” katanya.

Pada PRN ke-11, DUN Batu Kawah dimenangi Dr Sim yang bertanding atas tiket Barisan Nasional dengan majoriti 2,085 undi mengalahkan calon DAP Christina Chiew Wang See dan calon Bebas Liu Thian Leong.

Seramai 20,681 pemilih berdaftar di DUN Batu Kawah akan mengundi Sabtu ini.- BERNAMA