Mohd Uzir Mahidin

PUTRAJAYA – Menyedari kepentingan maklumat pasaran buruh dalam tempoh krisis dan sebagai inisiatif jangka pendek, Biro Statistik Buruh Malaysia (MBLS) telah membangunkan Malaysia Labour Market Interactive Data (MyLMID).

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, portal itu membolehkan capaian setempat terhadap data buruh rasmi dalam bentuk jadual dan visual secara interaktif.

“Pembangunan MyLMID adalah selaras dengan keputusan kerajaan menubuhkan MBLS mulai Jun 2020 dalam merapatkan jurang maklumat pasaran buruh negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Forum Pasaran Buruh 2021 secara maya hari ini anjuran Malaysian Bureau of Labour Statistics (MBLS), Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dengan kerjasama Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (Yayasan Peneraju) bertemakan ‘Menstabilkan Pasaran Buruh Ke Arah Merangsang Semula Ekonomi’ di sini hari ini.

Menurut Mohd Uzir, pembangunan MyLMID bertujuan membantu pengguna untuk mengakses data dengan lebih pantas berbanding kaedah sedia ada yang memerlukan tempoh menunggu bagi data disediakan.

Selain itu, menurutnya, kesan daripada pandemik, kebanyakan majikan  mengekalkan pekerja dengan pembayaran gaji dan kadar upah yang rendah berikutan permintaan berkurangan.

Walaupun ia dilihat dapat dijadikan alternatif jangka pendek yang baik namun untuk jangka panjang, ia akan menjejaskan kesejahteraan hidup, katanya.

“Pada tahun 2020, pendapatan purata isi rumah di Malaysia merosot sebanyak 10.3 peratus berikutan penurunan pendapatan pekerja bergaji dan bekerja sendiri yang menjadi punca utama bagi pendapatan isi rumah keseluruhan,” katanya.

Terkini, menurut Mohd Uzir, pasaran buruh negara menunjukkan trend pemulihan dengan rekod kadar pengangguran yang lebih rendah iaitu 4.3 peratus pada Oktober 2021 dengan bilangan penganggur seramai 705,000 orang.

“Meskipun menunjukkan momentum pemulihan dengan merekodkan angka pengangguran paling rendah sejak Mac 2020, ia masih melebihi kedudukan sebelum pandemik iaitu sekitar 500,000 penganggur dan kadar pengangguran sekitar 3.3 peratus,” katanya.

Jelas beliau, cabaran dan isu struktur perlu ditangani bagi memastikan keupayaan pertumbuhan ekonomi pasca Covid-19 selepas negara mencatatkan peningkatan berterusan kadar guna tenaga tidak penuh berkaitan kemahiran sejak suku ketiga 2020.

Seramai 1.87 juta orang atau 37.7 peratus pekerja bekerja dalam kategori separuh mahir dan berkemahiran rendah walaupun mempunyai pencapaian kelulusan tinggi bekerja.

“Isu struktur ini berkaitan dengan kekurangan permintaan buruh dalam kategori pekerjaan mahir. Hal ini menunjukkan industri berdepan dengan kekangan untuk menyerap penawaran buruh yang berpendidikan tinggi mendapatkan pekerjaan setara dengan latar belakang pendidikan mereka,” katanya lagi.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast