Seorang pembantu tadbir hospital kerajaan hari ini dihukum RM8,000 atas kesalahan menjalankan perniagaan tanpa kebenaran ketika masih lagi bergelar penjawat awam.

KUALA LUMPUR – Seorang pembantu tadbir hospital kerajaan hari ini dihukum RM8,000 atas kesalahan menjalankan perniagaan tanpa kebenaran ketika masih lagi bergelar penjawat awam.

Tertuduh, Suzana Murni Mansor, 53, merupakan pembantu tadbir Gred N22 didakwa melakukan perbuatan itu walaupun pada masa sama terikat dengan undang-undang tidak boleh mengambil bahagian dalam perniagaan.

Hakim Mahkamah Sesyen, Azura Alwi ketika membacakan keputusannya menegur Suzana yang sebenarnya memiliki rekod kerja lama dan cemerlang namun terpalit dengan kesalahan seumpama itu.

“Kini kamu terpaksa tanggung akibat perbuatan kamu sendiri. Kamu lama dalam kerajaan, rekod cemerlang,” katanya sebelum jatuh hukuman petang tadi.

Walaupun tertuduh telah membuat pengakuan salah atas pertuduhan pilihan pada sebelah pagi namun Azura hanya menjatuhkan hukuman pada sebelah petang.

Tertuduh diarah membayar denda sebanyak RM8,000 atau berdepan dengan penjara lima bulan dan Suzana membayar wang tersebut hari ini.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa sebagai pegawai badan awam iaitu Pembantu Tadbir Gred N22 di Jabatan Pengurusan Fasiliti Bersepadu, sebuah hospital kerajaan terikat di sisi undang undang supaya tidak mengambil bahagian dalam perniagaan.

Ia berdasarkan peruntukan di bawah Peraturan 4(1), Jadual Kedua, Bahagian II Akta Badan-Badan Berkanun (Tatatertib dan Surcaj) 2000 yang mana tertuduh telah mengambil bahagian dalam perniagaan, iaitu sebagai pemilik Syarikat Fana Global Resources yang mendapat kerja membekal dan menghantar sarung kaki kepada kakitangan hospital kerajaan terbabit yang bernilai RM44,500.

Kesalahan itu dilakukan di Jabatan Pengurusan Fasiliti Bersepadu, di sebuah hospital kerajaan di sini pada Disember 2016.

Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 168 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast