Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Aidi Ismail.

KUCHING – Lelaki yang ditembak mati oleh polis dalam kejadian di Jalan Simpang Tiga di sini semalam, telah mengeluarkan senjata api semasa anggota polis menghampiri kenderaannya bagi tujuan pemeriksaan, kata Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Aidi Ismail.

Beliau berkata ketika anggota polis menghampiri kenderaan itu, pemandu yang merupakan lelaki berumur 24 tahun didapati sedang mengeluarkan selaras senjata api.

“Demi mempertahankan diri, anggota polis melepaskan dua das tembakan ke arah pemandu berkenaan, dan pegawai perubatan mengesahkan lelaki itu meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Katanya terdahulu lima anggota polis terserempak kereta dipandu suspek dalam keadaan mencurigakan di Jalan Wan Alwi di sini dan suspek telah diarahkan untuk berhenti bagi pemeriksaan, namun suspek bertindak memecut kenderaannya, dan cuba melarikan diri.

Aidi berkata kenderaan berkenaan hanya berjaya dihentikan selepas anggota polis melepaskan tiga das tembakan ke arah tayar kereta jenis Proton Saga warna kelabu itu.

“Ketika di persimpangan lampu isyarat di Jalan Simpang Tiga, pemandu itu melanggar lima kenderaan berhampiran menyebabkan anggota polis bertindak menembak tayar kenderaannya,” katanya.

Aidi berkata pemandu berkenaan didapati mempunyai 14 rekod jenayah lampau dengan pelbagai kesalahan seperti mencuri kenderaan, penipuan serta penyalahgunaan dadah, dan polis telah merampas selaras senapang patah serta beberapa butir peluru di dalam kenderaan berkenaan.

Siasatan menyeluruh dibuat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960.- BERNAMA