Setiausaha Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Hasmuni Hassan

KUALA LUMPUR – Sebanyak 176 Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian dari seluruh negara yang selesai melaksanakan mesyuarat tahunan sejak 11 Disember lalu sebulat suara mahu pemilihan parti diadakan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Setiausaha Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Hasmuni Hassan berkata, perkara itu disuarakan perwakilan sayap parti itu melalui usul utama yang dihantar kepada pihaknya awal minggu ini.

“Dua usul menjadi ketetapan utama 176 Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian menggesa supaya pemilihan parti diadakan hanya selepas PRU15. Ini bagi memastikan kerukunan serta kestabilan parti terpelihara.

“Ia dapat memberi ruang kepada kepimpinan parti untuk fokus terhadap agenda membantu rakyat sebelum memulangkan mandat kepada rakyat bagi memilih kerajaan baharu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Selain itu, hampir keseluruhan usul yang diterima daripada Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian menggesa parti itu dan Barisan Nasional (BN) mengetengahkan lebih ramai calon muka baharu dan anak muda dalam PRU15.

“Ini juga susulan aspirasi dan keputusan kepimpinan yang meletakkan 87 peratus muka baharu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

“Melalui keputusan ini jua lah, PRN Melaka menjadi saksi bahawa tindakan kepimpinan ini telah memberikan kelebihan dan keyakinan rakyat untuk mengundi BN khususnya pengundi anak muda,” katanya.

Katanya lagi, kepimpinan UMNO-BN perlu meneruskan langkah ini bagi mengembalikan parti itu kembali menjadi pilihan majoriti rakyat Malaysia.

“Ini lah suara majoriti akar umbi Pemuda UMNO di seluruh negara yang mahukan pengukuhan serta memastikan UMNO menjadi organisasi terbaik yang dapat menjamin kestabilan demi kemakmuran negara.

“Saya juga percaya, Pemuda UMNO sebagai tiang dan teras kepada parti perlu sentiasa bersiap siaga dan memberi komitmen terbaik dalam menghadapi apa-apa jua keadaan.

“Semoga usul-usul yang diketengahkan dipertimbangkan dengan baik oleh pucuk pimpinan parti demi kebaikan bersama,” katanya lagi. – MalaysiaGazette