KUALA LUMPUR – Empat lagi pemandu yang menyalahgunakan lorong kecemasan di Lebuh Raya Utara Selatan menyerah diri kepada Polis Trafik Daerah Port Dickson, Negeri Sembilan pada Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidil Sham berkata, berikutan itu jumlah mereka yang menyerah diri bagi membantu siasatan sehingga kini ialah tujuh orang.

Katanya, polis masih berharap baki dua pemandu kenderaan memberi kerjasama bagi memudahkan polis menjalankan siasatan kes tersebut.

“Pada 14 Disember lalu antara jam 8.20 pagi hingga 12.33 tengahari, seramai empat lagi individu warga tempatan iaitu dua wanita dan dua lelaki telah hadir ke Balai Trafik Port Dickson untuk membantu siasatan.

“Kesemua empat individu itu merupakan pemandu kepada kenderaan Proton Iswara, Proton Axia, Proton Ertiga dan Proton Saga.

“Keempat-empat individu berkenaan masing-masing berusia 55, 28, 23 dan 27 tahun dan bekerja sebagai Penolong Pengarah Pihak Berkuasa Tempatan, peniaga kedai makan, pelajar universiti dan operator kilang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

ARTIKEL BERAITAN: 

Tambah beliau, ia sekali gus menjadikan keseluruhan yang menyerah diri kepada polis setakat ini adalah seramai tujuh orang.

Malah katanya, polis masih mengharapkan baki dua lagi individu yang terlibat dalam siasatan tersebut.

Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 279 Kanun Keseksaan dan Kaedah 53(1) Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959.

Terdahulu tular satu rakaman video di media sosial Facebook yang memaparkan sembilan buah kenderaan menggunakan lorong kecemasan untuk memotong barisan di Jalan Sunggala-Sua Betong di Port Dickson.

Selepas video berkenaan tular, tiga lelaki, iaitu seorang akauntan Pihak Berkuasa Tempatan, pemandu lori dan jurujual, tampil ke Balai Trafik Port Dickson untuk membantu siasatan polis pada 13 Disember lalu.

Mereka merupakan pemandu proton Wira, Perodua Myvi dan Proton Gen-2 berusia 57, 46 dan 36 tahun. – MalaysiaGazette