Tiga daripada sembilan pemandu kenderaan yang melakukan kesalahan memotong di lorong kecemasan dalam insiden Ahad di Lebuh Raya Utara Selatan di kawasan Port Dickson yang telah menyerah diri untuk membantu siasatan polis di IPD Port Dickson semalam.Gambar Ihsan IPD Port Dickson.

KUALA LUMPUR – Tiga daripada sembilan pemandu kenderaan yang memotong barisan menggunakan lorong kecemasan di Lebuh Raya Utara Selatan telah menyerah diri kepada polis semalam.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, polis masih menunggu enam lagi suspek yang terlibat dalam kesalahan yang sama untuk tampil membantu siasatan polis.

Ia melibatkan insiden dari arah Sunggala ke arah Sua Betong memasuki Lebuh Raya Seremban – Port Dickson pada Ahad lalu.

Sembilan kenderaan yang dikenal pasti melakukan kesalahan memotong di lorong kecemasan ialah JSU 7346 (Proton Ertiga ); NDF 1629 ( Perodua Axia ); ALR 7776 ( Proton Saga ); CBS 5433 ( Proton Gen-2 );JLV 7267 ( Toyota Hilux ); NBM 1706 ( Proton Iswara ); MBG 3678 ( Mitsubisihi Triton ); NAV 7097 ( Proton Wira ); VBB 1806 ( Perodua Myvi ).

Kejadian itu berlaku antara pukul 2 hingga 3 petang dan aksi sembilan buah kenderaan memotong barisan menggunakan lorong kecemasan itu tular di media sosial.

Rakaman video berdurasi 43 saat itu juga menerima kecaman warga netizen.

“Pada Isnin jam 5 petang, tiga lelaki tempatan telah hadir ke Balai Trafik Port Dickson untuk membantu siasatan iaitu ketiga-tiga lelaki berkenaan merupakan pemandu kepada kenderaan Proton Wira bernombor pendaftaran NAV 7907, Perodua Myvi bernombor plat VBB 1806 dan Proton Gen-2 bernombor CBS 5433,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Aidi Sham, ketiga-tiga lelaki berkenaan masing-masing berusia 57, 46 dan 36 tahun dan masing-masing bekerja sebagai pemandu lori, jurujual dan akauntan pihak berkuasa tempatan.

“Polis masih lagi mengesan enam pemandu, pemilik kenderaan yang terlibat dalam kesalahan menggunakan lorong kecemasan untuk memotong barisan.

“Kami berharap mereka dapat memberika kerjasama kepada polis dengan tampil segera untuk membantu polis melengkapkan siasatan kes berlunaskan undang-undang yang ditetapkan,” tegasnya.

Siasatan dijalankan bawah Seksyen 279 Kanun Keseksaan /Kaedah 53(1) Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959. – MalaysiaGazette