Pendakwah dan pelatih skuba, Ustaz Muhammad Abdullah bercakap kepada media selepas menyerahkan sijil tamat latihan skuba kepada lima komando VAT 69 dan dua anggota SPRM di Restoran Azira, Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 17 DISEMBER 2021.

SHAH ALAM – Setiap masjid perlu mempunyai pasukan penyelamat di air bagi membantu unit beruniform dan agensi kerajaan.

Pendakwah, Ustaz Muhamad Abdullah Al Amin berkata, beliau berhasrat untuk melihat sebuah pasukan penyelamat pada setiap masjid di Selangor.

Tambah beliau, Masjid Negeri Selangor telah bersetuju untuk menubuhkan pasukan itu menerusi Persatuan Profesional Penyelam Penyelamat Awam Malaysia yang bakal bergerak mulai tahun depan.

“Saya sudah berbincang dengan Masjid Negeri Selangor untuk kita tubuhkan pasukan penyelamat penyelam di setiap masjid.

“Contoh di Selangor kalau ada kes lemas balai bomba ada, dua pasukan penyelamat air, jadi dengan ada pasukan ini dapat membantu

“Kalau ada di kawasan pasukan penyelamat air ini ada di setiap masjid akan dapat membantu,” katanya kepada pemberita.

Lima komando VAT 69 dan dua anggota SPRM menunjukkan sijil tamat latihan skuba ketika di Restoran Azira, Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 17 DISEMBER 2021.

Terdahulu, Muhammad Abdullah menyerahkan sijil tamat latihan skuba kepada lima anggota pasukan komando 69 (VAT 69).

Kursus skuba yang dijalankan di bawah seliaan beliau merupakan tajaan secara percuma demi membantu unit beruniform untuk berkhidmat kepada orang awam.

“Kita lihat ada keperluan untuk membuat kerjasama menganjurkan kursus menyelam dengan VAT 69. Kita bersetuju menaja lima komando VAT 69,” katanya.

Untuk rekod, Muhammad Abdullah merupakan Pengerusi Yayasan Al Amin, yayasan yang membantu memberi pendidikan kepada pelbagai lapisan masyarakat khususnya golongan B40. -MalaysiaGazette