Presiden Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal berucap pada Majlis Pelancaran Parti Warisan Peringkat Nasional di Pusat Konvensyen Sime Darby, Kuala Lumpur. Foto FAREEZ FADZIL, 17 DISEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Parti Warisan secara rasmi hari ini melebarkan sayapnya ke Semenanjung dengan pelancaran parti itu di peringkat nasional.

Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yakin parti pimpinannya itu berada di landasan yang tepat selepas bekerjasama dengan pasrti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Beliau meletakkan komitmen itu selepas negara bergelumang dengan perbalahan membabitkan isu remeh-temeh.

“Justeru, melihat kepada senario politik kini, kita memerlukan perubahan struktur dalam politik.

“Perlu ada peralihan daripada sistem politik berasaskan kaum dan agama kepada kepelbagaian kaum yang lebih inklusif,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Parti Warisan Sabah (Warisan) peringkat nasional, di sini, hari ini.

Meneruskan perjuangan pemimpin terdahulu beliau berkata, mahu membina sebuah negara yang tidak berlandaskan hanya kepada kaum dan agama.

“Kita mahu sediakan satu landasan peralihan daripada sistem politik kepartian yang berasaskan kaum dan agama kepada satu landasan yang lebih inklusif dan juga pelbagai kaum.

“Kita sudah lebih 60 tahun merdeka, masih lagi dibangkitkan dengan persoalan kaum, orang Melayu di Malaysia tidak akan mati kalau tidak ada UMNO, Islam di Malaysia, kita tidak akan lumpuh kalau tidak ada Pas, orang Iban tidak akan mati di Malaysia kalau tidak ada DAP.

“Mana ada UMNO di Indonesia, mana ada Pas di Brunei, mana ada DAP di China? Tidak ada.

“Orang Melayu tidak akan mati kalau tiada UMNO, Islam tidak akan lumpuh tanpa Pas manakala orang Cina pula tidak akan mati jika tiada DAP,” ujarnya.

Hadir sama pada majlis itu, Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Sebelum ini, Shafie menyatakan hasrat untuk memperluaskan sayap partinya hingga ke Semenanjung bagi meneruskan perjuangan pemimpin terdahulu.

Usaha itu juga dibuat sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15). – MalaysiaGazette